“Beratur panjang, cuaca panas dan bersesak demi pasukan”

KIRA-kira 3,000 penyokong setia skuad Tok Gajah tidak melepaskan peluang berbaris seawal jam 12 tengah hari untuk mendapatkan tiket perlawanan suku akhir pertama Piala FA di kaunter penjualan tiket di Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.

Rata-rata peminat skuad bola sepak Pahang itu sanggup beratur dalam cuaca panas serta berbaris panjang sejauh 400 meter bagi mendapatkan tiket yang mula dijual pada jam 2 petang.

Pelajar kolej swasta, Scha Musa, 24, berkata, dia mula berbaris seawal jam 1 tengah hari bersama sepupu dan rakannya bagi membeli tiga tiket Grand Stand.

“Beratur panjang, cuaca panas dan bersesak hendak dapatkan tiket itu perkara biasa. Lagipun perlawanan ini sangat istimewa kerana menemukan Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT),” katanya.

Gadis berasal dari Indera Mahkota itu berharap skuad bimbingan Dollah Salleh dapat mempamerkan aksi bermutu tinggi sekali gus mencari bekalan gol selesa untuk dibawa ke perlawanan suku akhir kedua di Larkin.

Tinjauan NSTP pada jam 2.30 petang hingga 4 petang mendapati sebahagian besar penyokong tidak melepaskan peluang untuk membeli tiket dalam kuantiti maksimun iaitu sebanyak empat tiket seorang.

Kakitangan swasta, Mohd Iqbal Jaafar Sidek, 29, dia bersama sembilan lagi rakannya mula memenuhi pekarangan kaunter tiket pada jam 12 tengah hari.

“Kami beli empat tiket seorang kerana ada kawan yang kirim. Perlawanan menentang JDT sangat istimewa kerana ia bukan sahaja menentukan maruah pasukan malah melihat sejauh mana Pahang boleh melangkah dalam saingan Piala FA ini,” katanya.

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dalam kenyataan media semalam memaklumkan memperuntukkan 28,000 tiket yang mula dijual hari ini dan pada hari perlawanan, esok.

Sebanyak empat tiket dihadkan seorang dengan kaunter dibuka jam 2 petang hingga 6.30 petang hari ini dan 9 pagi hingga 12 tengah hari, Jumaat, menurut kenyataan itu.

kredit:- HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *