Musim Manis Buat Kedah!

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff menyifatkan Liga Malaysia 2017 merupakan musim manis buat skuad Lang Merah.

Ini kerana Kedah sekali lagi layak ke final Piala Malaysia musim ini dan di awal musim turut menjulang Piala Sumbangsih.

“Musim yang sangat manis bermulanya 2017 dengan menjuarai Piala Sumbangsih bertemu JDT dan sekali lagi akan berlaku pertemuan dengan JDT pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam di mana padang itu ramai disukai pemain-pemain bola sepak tempatan termasuk Kedah,” katanya pada sidang media di sini malam Sabtu.

 

Dalam perlawanaan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Felda United malam tadi, Kedah menang 2-0 atau dengan agregat 3-1.

Mengenai persiapan Kedah di final nanti, Mohd Nidzam berkata beliau akan menggunakan sepenuhnya tonggak utama termasuk Ken Ilso Larse,  Liridon Krasniqi dan Khairul Helmi Johari yang tidak diturunkan malam tadi akibat kecederaan atau digantung perlawanan.

“Kita akan cuba dan berusaha kalau ada rezeki sekali lagi di (Stadium) Shah Alam, tidak mustahil kita menang dan akan berusaha untuk menggunakan Ken Ilso di final nanti,” katanya.

Mengenai perlawanan malam tadi, beliau berkata corak permainan sebagai satu pasukan serta patuh pada arahan menjadi kunci kejayaan buat Kedah walaupun tanpa Ken Ilso dan Liridon di bahagian tengah.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini dan layak ke final lagi dan saya nak ucap tahniah dan ‘salute’ kepada pemain-pemain yang bermain sangat baik walau tanpa beberapa tonggak utama.

“Mereka mengikut arahan dan sabar mencari gol dalam serangan-serangan yang dilancarkan,” katanya yang turut berterima kasih kepada para penyokong yang memberi sokongan padu selama ini.

Bagi Sandro Da Silva Mendonca, untuk menentang JDT di final bukan mudah kerana JDT adalah pasukan yang kuat di Liga Malaysia ketika ini.

“Kedah kena kerja kuat untuk main sekali lagi dengan JDT, ini bukan mudah sebab mereka pasukan kuat tapi saya yakin Kedah mampu menang dan mempertahankan kejuaraan,” katanya.

Sementara itu Ketua jurulatih Felda United, B. Satiananthan berkata sikap ambil mudah adalah antara penyebab pasukannya kalah malam tadi.

“Separuh masa pertama kita tak main tapi Kedah saja yang main. Kita beri peluang Kedah banyak bergerak dan mereka kuasai perlawanan. Mungkin kita fikir mudah sebab dia tak ada tiga tonggak dan ambil mudah, tak ada tackle dan tak ada pergerakan,” katanya.

Namun beliau berpuas hati dengan pretasi anak buahnya apabila berjaya membuat serangan berbahaya terutama  daripada Thiago Augusto Fernandes dan  Ifedayo Olusegun Patrick Omo Suyi.

Beliau turut memuji pasukan Kedah yang bermain begitu baik dan pandai mengambil peluang dengan serangan balas pada akhir babak perlawanan hingga menjaringkan dua gol. -Bernama

Sumber:www.mstar.com.my

 

‘Maaf Kedah, final milik FELDA’

ALOR SETAR: Saingan baki 90 minit permainan separuh akhir kedua Piala Malaysia belum bermula, tetapi pemain tengah FELDA United, Zah Rahan Krangar sudah awal-awal lagi memohon maaf kepada pasukan lawan, Kedah.

Ini kerana pemain import berusia 28 tahun dari Liberia itu cukup yakin bahawa dia dan rakan sepasukan boleh mengecewakan juara bertahan itu di Stadium Darul Aman, Sabtu ini untuk melangkah ke final.

“Kedah pasukan yang handal, mereka mempamerkan permainan yang baik tapi saya terpaksa meminta maaf kepada Kedah kerana perlawanan kedua sudah berakhir, FELDA akan menang perlawanan itu nanti,” kata Zah Rahan.

 

FELDA yang dibimbing bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan tidak memiliki sebarang kelebihan apabila bertandang ke Alor Setar selepas aksi separuh akhir pertama di Jengka minggu lalu berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Bagaimanapun ia bukan mustahil apabila skuad The Fighters pernah mengalahkan Kedah 3-1 di gelanggang lawan dalam aksi Liga Super pada 20 September lalu malah mereka kini dalam prestasi terbaik, tidak kalah dalam empat perlawanan terakhir termasuk menang 3-2 ke atas juara liga Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 28 September.

Menurut Zah Rahan yang sudah empat musim bersama FELDA, semangat semua pemain cukup tinggi untuk mencipta sejarah mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama.

“Saya fikir kami ada peluang lebih baik kerana ia sasaran kami untuk melangkah ke final dan memenangi Piala Malaysia, jadi kami hanya perlu pergi ke sana lakukan yang terbaik serta bermain seperti seorang pejuang.

“Saya pernah sekali beraksi pada final Piala FA menentang Pahang (kalah 1-2), kami mahu mencapai sesuatu kejayaan untuk FELDA tahun ini, itu sasaran kami,” kata perancang itu.

sumber:- BH

 

(VIDEO ) Penjaga Gol Terkemuka Indonesia, Choirul Huda Meninggal Dunia Selepas Bertembung Dengan Rakan Sepasukan

Penjaga gol lagenda Indonesia, Choirul Huda, meninggal dunia selepas berlaku kemalangan ketika sedang bermain dalam perlawanan Liga Indonesia ketika pasukannya, Persela Lamongan sedang menentang pasukan Semen Padang.

Arena bola sepak Indonesia dikejutkan dengan berita bahawa penjaga gol itu meninggal dunia setelah berlakunya perlanggaran kuat antara dia dan rakan sepejuangannya.

Penjaga gol berusia 38 tahun itu rebah ketika minit-minit akhir separuh masa pertama.

 

Difahamkan, penjaga gol itu bertembung dengan Ramon Rodrigues ketika mahu menyelamatkan bola dari penyerang Semen Padang, Marcel Sacramento.

Menerusi video kejadian, boleh dilihat kaki Rodrigues terkena pada bahagian dada Choirul.

Ambulan kemudiannya dipanggil sebelum dibawa ke hospital tempatan.

Selepas permainan tamat, jurulatih Persela Aji Santoso mengesahkan Huda meninggal dunia.

Huda disahkan meninggal duni apada 5.15 petang, di Hospital di Lamongan.

Doktor Zaki Mubarok memberitahu “Dia dibawa ke hospital dalam keadaan masih bernyawa, tapi sudah tidak bernyawa lebih kurang jam 17:00.

“Menurut analisis kami, ia disebabkan oleh pelanggaran di kepala dan bahagian belakang leher.” katanya.

Aji Santoso berkata: “Kesemua pemain selesai bermain dan pergi ke hospital, dimana di sana Choirul Huda disahkan meninggal dunia.”

siakapkeli

 

(Video) Penyokong Israel Ceroboh Padang Acu Pisau Pada Isco Selepas Tewas Kepada Sepanyol

Isco, bintang Real Madrid yang juga pemain tengah Sepanyol, dilaporkan menghadapi detik-detik cemas apabila diacu dengan sebilah pisau oleh salah seorang daripada 6 orang penyokong bola sepak Israel.

Kejadian tersebut berlaku ketika skuad kebangsaan negara itu tewas 0-1 kepada La Roja dalam kempen kelayakkan Piala Dunia 2018 yang menyaksikan Israel bertindak selaku tuan rumah.

Dalam perlawanan berat sebelah yang memperlihatkan Sepanyol menguasai perlawanan serta serangan bertali arus, gol kemengan hadir menerusi rembatan kencang daripada Asier Ilaramendi pada minit 75.

 

Sejurus tamat perlawanan, penyokong-penyokong tersebut menceroboh padang lalu menyerbu Isco. Polis kemudian menyuraikan keadaan dan menahan penyokong tersebut selepas melihat sebilah pisau jatuh ke atas padang daripada tangannya ketika menyerbu Isco.

Pihak polis enggan memberi kenyataan berhubung dengan motif pisau itu dibawa oleh penyokong tersebut.

FA Israel (IFA) bagaimanapun menafikan insiden itu dengan mendakwa tiada bukti bahawa kejadian tersebut berlaku.

“Berdasarkan maklumat yang kami ada, tiada bukti yang menunjukkan bahawa penyokong yang menceroboh padang telah membawa pisau”, kata Shlomi Barzel, Pengarah Komunikasi IFA.

”Kami tidak tahu daripada mana berita itu datang, ianya palsu.

”Saya tidak fikir kehadiran pasukan Sepanyol dialu-alukan dengan sebegitu meriah di tempat lain seperti di sini (Israel).

”Terutamanya Isco, yang mana menerima pelbagai sorakan positif, begitu juga dengan pemain lain yang berada di padang,” katanya lagi.

Sepanyol muncul juara dalam kumpulan G yang menyaksikan satu-satunya perlawanan yang tidak dimenangi adalah ketika seri menentang Itali.

Manakala Israel berada di tangga keempat, seterusnya terlepas slot play-off yang dirampas oleh Itali. Kali terakhir Israel layak ke Piala Dunia adalah pada tahun 1970, malah mereka menghadapi pelbagai masalah keselamatan sepanjang pusingan kelayakkan diadakan.

Misalnya perlawanan Israel menentang Albania November lalu terpaksa dipindahkan dari Shkodra ke Tirana setelah diberi amaran kemungkinan berlaku serangan pengganas.

Sumber : Dream Team / siakapkeli

 

Tahu-Tahu Keluar Cerita Begini – Bibi Ramjani

PETALING JAYA:  Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan menafikan wujud konspirasi di kalangan pemain dan seorang individu bergelar ‘Datuk’ yang didakwa cuba memusnahkan impian pasukan itu untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Jelas Bibi, dakwaan konspirasi tersebut hanyalah salah faham sahaja.

“Saya rasa berlaku salah faham di sini. Sebenarnya exco ini (Datuk) telah pun meminta persetujuan saya untuk bertemu pemain bagi bertanyakan mengenai masalah mereka.

 

“Kebetulan pada tarikh pertemuan itu, saya tak dapat hadir kerana ada janji temu lain berkaitan bangunan Kafa. Tahu-tahu keluar cerita sebegini” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Malah, pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu itu tidak menafikan dakwaan tersebut sengaja dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeruhkan hubungan antara pemain dan pihak pengurusan Kafa.

“Saya pun tak faham apa tujuan individu tersebut… mungkin dia cuba nak cetuskan suasana tegang antara exco dengan pemain dan juga jurulatih,” katanya.

Bibi berkata, beliau sebenarnya sudah mengetahui mengenai pertemuan tersebut yang terpaksa diadakan tanpa kehadirannya.

“Perjumpaan itu sebenarnya dibawah pengetahuan saya. Malah saya yang minta mereka uruskan dulu perjumpaan tersebut,” katanya.

Bibi berkata pada hari pertemuan itu beliau ada temujanji dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) untuk menyelesaikan isu bangunan Kafa yang berada di bawah agensi tersebut.

“Apabila tukar pengurusan baharu saya buat kunjungan ke Kada untuk meminta pejabat tersebut dapat digunakan oleh Kafa bagi meneruskan operasi seperti sebelumnya,” katanya.

Ditanya adakah beliau terkejut dengan dakwaan itu, Bibi berkata, tidak, tetapi beliau tidak menjangka isu tersebut diputar-belitkan sebuah akhbar tempatan sehingga menjadi lebih teruk.

“Tak terkejut tapi macam mana boleh spin macam ni… tambah teruk sangat. Saya tak nafi wujud konspirasi dalam mana-mana sukan tapi mungkin bukan di kalangan mereka.

“Biasalah dunia bola sepak, tak kenal maka tak cinta. Kita kena hadapi dengan rasional apabila berdepan situasi sebegini,” luahnya kecewa.

Malah, Bibi berkata beliau sudah bertemu dengan sendiri dengan pemain pada Rabu untuk mengesahkan mengenai intipati yang dibincangkan dalam pertemuan itu.

“Saya sudah bertemu dengan pemain sendiri semalam. Malah exco itu turut mengiyakan mengenai lokasi pertemuan mereka,” katanya.

Sumber: www.mstar.com.my

 

TMJ Umum Bonus Ratusan Ribu Jika Menang Esok

JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibahim mengumumkan setiap pemain skuad kebangsaan akan menerima bonus sebanyak RM30,000 jika mereka menang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di Hong Kong esok.

Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, perlawanan itu sangat penting kerana ia peluang untuk menjawab kritikan-kritikan orang ramai yang mempertikaikan kemampuan pemain-pemain kebangsaan.

“Main sebagai satu pasukan dengan matlamat untuk mencipta kemenangan. (Bagaimanpun) menang kalah perkara kedua. Apa yang penting jika rakyat dan saya melihat pemain beri 110 peratus, kalah atau menang kami puas hati.

 

“Menang bonus RM30,000. Syafiq Rahim dapat RM20,000 sahaja sebab dia hutang saya RM10,000,” katanya semasa meluangkan masa menyampaikan amanat kepada para pemain skuad kebangsaan di Hong Kong melalui sidang video dari Johor Bahru hari ini.

Tunku Ismail dalam pada itu meminta setiap pemain kebangsaan yang berada di Hong Kong supaya tidak melayan media sosial.

Katanya, beliau tidak mahu kenyataan-kenyataan negatif yang dilemparkan orang ramai ke atas pemain skuad kebangsaan di media sosial menjejaskan tumpuan mereka ke atas perlawanan itu.

“Ini perlawanan yang sangat mustahak bukan saja untuk rangking dan reputasi pasukan kebangsaan. Kebanyakan orang dalam negara ini yang tiada kena mengena dalam dunia bola sepak hanya tahu membuat kenyataan negatif.

“Saya tak nak ada mana-mana pemain melayan media sosial yang boleh menjatuhkan moral atau memeningkan kepala masing-masing.

“Jangan beri apa-apa tumpuan kepada kritikan orang yang tiada kena mengena dalam industri bola sepak, orang yang tiada kena mengena dengan industri bola sepak moden dan orang yang tiada kena mengena dengan bola sepak,” katanya.

MYNEWSHUB.CC

 

Konspirasi Singkir TMJ Presiden FAM ‘Kerja Gila’

SEREMBAN – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan konspirasi untuk menyingkirkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ‘kerja orang gila.’

Katanya, Tunku Ismail baharu sahaja dilantik sebagai presiden yang baharu dan telah menunjukkan perubahan dan peningkatan mutu bola sepak negara, dan seharusnya diberikan peluang untuk menerajui badan itu.

“Kalau ada konspirasi, ini kerja orang gila sebab kita baru pilih presiden. Baginda dah mula buat perubahan dan ada peningkatan, jadi kenapa kita nak kacau dia, bagi dia buat kerja.

 

“Kalau ada konspirasi ini, saya tak setuju langsung dan kita sama-sama lawan konspirasi itu. Kita beri sokongan pada presiden baru, bagi dia buat kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Piala Emas Yuen Loong yang ke-48, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media Rabu lepas yang memetik Tunku Ismail sebagai berkata terdapat konspirasi untuk ‘mencarasnya’ dalam jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara.

Laporan itu juga menyebut Tunku Ismail sendiri mendedahkan ada segelintir ahli exco yang bersekongkol yang mahu beliau melepaskan jawatan tertinggi dan ada juga yang cuba mengeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif, Perkongsian Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Terdahulu, Khairy, dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bekas Pelajar Ma Hwa Rasah yang menganjurkan kejohanan badminton amatur itu secara berterusan selama 48 tahun, sejak 1969, sekali gus mencatatkan rekod dalam Malaysia Book Of Records sebagai kejohanan paling lama dianjurkan di negara ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

– BERNAMA / mynewshub

 

Tambah Pemain Import Tak Buat Liga M Hebat, Gah

PETALING JAYA: Kehadiran lima atau enam orang pemain import bukanlah tiket untuk menjadikan Liga Malaysia hebat atau gah, jelas bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak negara, Khalid Ali.

Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan ini mengakui cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah kuota pemain import bagi musim akan datang adalah sesuatu yang baik bagi menyemarakkan sukan bola sepak negara serta menambah tarikan di luar Malaysia.

“Semua ada pro dan kontra. Cuma apa yang harus kita lakukan adalah memberi tumpuan kepada kebangkitan pemain tempatan.

 

“Ramai pemain tempatan yang berada dalam pasukan hebat tetapi tidak bermain.

“Ini bukan kerana kehadiran pemain import tetapi memang pemain kita tidak maju kerana program pembangunan yang tidak cukup dan betul,” ujarnya kepada mStar Online.

Mengulas lanjut mengenai program pembangunan, Khalid berkata, seseorang pemain hebat bermula dari bawah.

“Program pembangunan memerlukan tempoh lima hingga sepuluh tahun untuk menampakkan hasil atau melahirkan pemain yang lebih berbakat.

“Selepas itu, jurulatih juga perlu menjadi lebih baik kerana mereka yang akan memastikan sama ada pemain itu berjaya atau ke peringkat yang lebih  baik.

“Kita tengok sekarang, ada jurulatih yang telah melatih pasukan 15 atau 20 tahun. Tak ada juga pemain hebat yang dilahirkan. Jadi kita perlu seimbangkan pemain tempatan dan import kerana pemain kita agak jauh ketinggalan dengan mereka.

“Pemain import yang datang ke sini bukannya bagus sangat. Mungkin mereka hanya Gred C atau D. Liga kita pun gred D, jadi dapatlah pemain yang gred D. Dan kalau ada pemain import yang bagus seperti gred B, pemain kita pula gred apa?.

“Tambah pula tahap liga kita bukannya memuaskan. Dari segi kehebatan liga, kita belum nampak sangat,” jelas Khalid.

Ditanya mengenai cadangan yang terlintas di fikirannya untuk meningkat gred pemain-pemain tempatan, Khalid berkata, FAM perlu melaksanakan liga separuh profesional.

“Kita sudah ada liga profesional, jadi FAM boleh adakan satu lagi liga khas untuk pemain-pemain tempatan sahaja. Mana-mana yang terbaik, hebat boleh menyertai liga profesional.

“Mungkin ia boleh berjaya jika FAM cuba melaksanakannya. Setakat ini saya tidak nampak program pembangunan yang dilakukan FAM walaupun berubah peneraju baharu badan induk bola sepak negara,” ujarnya.

Sebelum ini, FAM bercadang untuk menambah kuato pemain import daripada empat ke lima orang untuk saingan musim depan.

Bagaimanapun, ia akan diputuskan oleh FAM pada mesyuarat exco yang akan datang.

Sumber:www.mstar.com.my

 

(Video & Gambar) Team Berbasikal Paralimpik Negara Dilanggar Lari Semasa Jalani Latihan

Sejak sejam lalu menjadi perbualan hangat di mana di laporkan team atlet berbasikal Paralimpik negara yang sedang menjalani latihan untuk menghadapi Sukan PARA Asean 17 hingga 23 September 2017 ini telah mengalami kecelakaan selepas dilanggar lari.

Menurut seorang lelaki bernama Syed Mubarak Ali , kejadian berlaku di atas lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor Expressway (LATAR) berhampiran Ijok ketika atlet-atlet yang sedang menjalani latihan di mana mereka telah dilanggar oleh sebuah kereta pick up jenis Toyota Hilux.

 

loading…

 

Posted by Syed Mubarak Ali on Wednesday, 6 September 2017

loading…



Menurut beliau kes langgar lari itu telah sampai kepada pihak polis, semoga atlet-atlet kita ini cepat sembuh dan pesalah dihukum dengan hukuman yang setimpal.

Siakapkeli.my

 

Dua Calon Tawar Diri Jadi Presiden KAFA, Dato Vida Nasihat Jangan Cari Publisiti Murahan

Pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu, Bibi Ramjani Ilias Khan dan Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang merupakan Naib Presiden Kafa adalah dua nama yang bakal bertanding bagi mengisi kerusi jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Keputusan akan diperoleh pada kongres pemilihan ke-63 persatuan itu, 17 September ini.

Saingan sengit antara dua calon ini sedang hangat diperkatakan hingga mendapat perhatian jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida.

 

Pada tahun 2016 lalu, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman pernah menaja skuad The Red Warriors (TRW) dengan perjanjian bernilai RM16 juta sebelum mengambil keputusan untuk menangguh tajaannya pada tahun ini.

Datuk Seri Vida menasihati mana-mana individu yang ingin bertanding bagi merebut jawatan presiden untuk tidak terlalu teruja mencari publisiti murahan menerusi Kafa.

Sebagai bekas penaja TRW, Datuk Seri Vida berkata demikian berdasarkan pengalaman bersama pasukan negeri Kelantan itu selama hampir setahun.

“Saya tak dengki tapi saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai penaja dan penasihat kehormat Kafa sebelum ini. Jadi saya nasihatkan bakal calon presiden Kafa agar janganlah terlalu ghairah mencari publisiti murahan menerusi Kafa.

“Calon presiden juga kena sedia terima kritikan. Walaupun anda sanggup berkorban demi pasukan, tidak semestinya pengorbanan anda itu akan dibalas dengan sokongan kuat penyokong,” petikan dari laporan mStar Online.

Menurut usahawan kosmetik ini, pelaburan besarnya terhadap Kelantan sebelum ini tidak menunjukkan sebarang hasil. Penyokong juga didakwa tidak membantu dalam menjana pendapatan untuk pasukan melalui pembelian jersi dan produk kesihatan keluaran syarikat beliau.

“Saya kecewa dengan penyokong Kelantan yang enggan melaburkan sedikit wang untuk pasukan. Dah keluarkan jersi ikut harga mampu milik tapi penyokong lebih suka beli jersi ciplak.

“Saya keluarkan pula air tin (Pamoga) tapi penjualan agak perlahan. Macam mana saya nak rolling duit untuk pasukan sedangkan wang tajaan saya bergantung dengan hasil jualan produk itu,” ujarnya.

Jelas Datuk Vida lagi, terdapat segelintir penyokong menganggap segala yang dilakukan oleh beliau sebagai penaja hanyalah mahu menonjolkan jenamanya semata berbanding memajukan pasukan Kelantan.

“Saya memang seorang yang bercita-cita tinggi dan sukakan sesuatu kelainan. Sebagai seorang ahli perniagaan saya perlu tampil dengan idea-idea yang baharu untuk menjana pendapatan demi pasukan,” katanya.

Sumber- mStar Online

sumber:www.siakapkeli.my