Rooney Dedah Sebab Tolak

WAYNE Rooney memilih tekanan untuk kembali ke Everton berbanding bayaran gaji yang lumayan di China.

Bekas kapten England itu dikaitkan dengan perpindahan ke Timur Jauh pada bulan-bulan terakhir kariernya di Manchester United, tetapi akhirnya memutuskan untuk kembali ke kelab yang ditinggalkan 13 tahun lalu.

Bercakap kepada Football Focus di BBC, beliau memutuskannya berbanding melihat kerjayanya ‘memperoleh banyak wang’ di luar negara.

“Itu bukan saya, saya memerlukan matlamat itu, saya memerlukan tekanan itu. Keinginan untuk bermain akan hilang jika saya memilih pilihan lain,” katanya.

“Saya tahu bahawa kembali ke Everton lebih banyak tekanan, itulah yang saya mahukan.

“Saya mahu membuktikan lagi diri saya kepada peminat Everton dan cuba membantu kelab itu bergerak ke hadapan dan memenangi trofi.

“Saya rasa ia sesuai untuk saya dan diharapkan dalam masa dua atau tiga tahun yang akan datang, kita boleh melakukannya,” ujar Rooney.

– MailOnline UK

Sumber: mstar

Idea baik darah kacukan wakili

KUALA LUMPUR: Cadangan bagi membuka pintu kepada lebih ramai pemain berdarah kacukan untuk menyarung jersi pasukan bola sepak kebangsaan disambut baik oleh Curran Singh Ferns.

Malah, dia sendiri mengakui sedia untuk dipanggil pada bila-bila masa jika diperlukan.

Pemain darah campuran Malaysia-Australia yang kini mewakili FELDA United itu berpendapat sebarang langkah memantapkan skuad kebangsaan perlu disokong kerana skuad Harimau Malaya kini memerlukan ‘suntikan’ untuk kembali mengaum.

“Saya berpendapat ini idea yang bagus dan boleh dicuba. Tidak salah kita membuat eksperimen dengan cara ini. Mana tahu mungkin ia boleh membawa hasil yang dimahukan.

“Lagipun pemain berdarah kacukan yang mempunyai susur galur keluarga sesebuah negara memang dibolehkan mewakili pasukan kebangsaan negara itu, walaupun mereka tidak dilahirkan atau dibesarkan di situ.

“Saya sendiri walaupun dilahirkan dan dibesarkan di Australia, namun masih memiliki ikatan kukuh dengan keluarga ibu saya di Pulau Pinang. Saya mempunyai ahli keluarga yang ramai di sini,” kata Ferns.

Ferns menganggap penggunaan pemain berdarah kacukan dalam skuad kebangsaan bukan perkara aneh kerana telah dipraktikkan banyak negara.

Cuma, katanya, mungkin agak baharu di sini kerana hanya sejak kebelakangan ini saja pemain kacukan membanjiri liga negara.

Ketika ini terdapat 14 pemain kelahiran luar negara yang mempunyai susur galur keluarga di negara ini layak dipanggil oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Antaranya adalah dua pemain Johor Darul Ta’zim iaitu Natxo Insa dan La-Vere Corbin-Ong.

Pemain lain seperti Matthew Davies, Brendan Gan, Kiko Insa, Khair Jones dan Darren Lok menjadi perintis kepada kemasukan pemain berstatus sedemikian dalam skuad kebangsaan.

Bagaimanapun Ferns bersetuju status sebagai pemain kacukan bukan tiket automatik untuk mereka dipilih menyarung jersi pasukan kebangsaan sebaliknya setiap pemain perlu diberi ‘padang yang sama rata’.

“Kalau anda bagus, anda layak dipilih walau siapa pun anda. Proses itu sangat mudah kerana kejayaan sesebuah pasukan itu bukan ditentukan oleh DNA seseorang pemain tapi melalui kemampuan di tengah padang.

“Saya sendiri tidak layak untuk menyatakan saya bagus untuk pasukan Malaysia. Tapi, jika jurulatih pasukan kebangsaan fikir saya mampu beri sumbangan, saya bersedia pada bila-bila masa untuk menyahut panggilan.

“Memang menjadi impian saya untuk mewakili Malaysia. Saya berasa bangga jika dapat melakukannya malah akan memberi yang terbaik kerana saya juga rakyat negara ini,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

sumber: BH

 

Pique terlepas hukuman

BARCELONA: Bintang Barcelona Gerard Pique terlepas daripada sebarang hukuman kerana meminta penyokong Espanyol mendiamkan diri selepas menjaringkan gol pada aksi kelab tetangga itu awal bulan ini malah menghina kelab itu sebelum perlawanan.

Persekutuan bola sepak Sepanyol (REFF) berkata hari ini, pihaknya sudah menamatkan siasatan terhadap pertahanan itu.

Pique memberitahu dia menerima ejekan sepanjang perlawanan pada 4 Februari lalu dan ‘meminta penyokong berdiam diri adalah sesuatu yang sekurang-kurangnya mampu saya lakukan.”

Tindakannya itu bagaimanapun dikritik presiden La Liga, Javier Tebas yang mendakwa ia mencetuskan kemarahan penyokong Espanyol.

Susulan insiden itu, liga utama Sepanyol itu berkata mulai ketika ini pihaknya akan meminta persekutuan menyiasat tindakan pemain meraikan jaringan yang disifatkan keterlaluan.

RFEF mengkritik kelakuan Pique namun berkata pihaknya tidak mempunyai hujah kukuh untuk mendakwanya.

“Kata-kata pemain itu tidak menggambarkan sesuatu sesuatu yang bijak dan tidak membantu mengukuhkan sukan itu sebagai medan yang bebas daripada konfrontasi sosial,” menurut satu kenyataan daripada Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan.

Sebelum perlawanan itu Pique didakwa menghina Espanyol dengan berkata mereka berasal dari kawasan perbandaran Cornella dan bukannya bandaraya Barcelona, mencetuskan kemarahan daripada kelab dan majlis perbandaran Cornella.

– Reuters

Yusri ada ramuan hadapi Perak

KOTA BHARU: Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah ada ramuan tersendiri untuk memburu kemenangan sulung pada aksi Liga Super berdepan Perak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Sabtu ini.

Jurulatih kelahiran Kangar itu berkata, beliau akan melakukan rombakan di beberapa bahagian bagi tujuan menyesuaikan semula posisi pemain berbanding kedudukan mereka sebelum ini.

Katanya, kemasukan penyerang import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar yang digandingkan dengan penyerang import Brazil, Bruno Lopes dilihat akan memecahkan kebuntuan jentera serangan pasukan itu.

“Setakat apa yang saya perhatikan memang pasukan perlu membuat rombakan kerana jika dilihat pada perlawanan sebelum ini memang kami gagal mencipta peluang mendapatkan jaringan.

“Oleh itu, saya sudah nampak beberapa taktikal yang boleh digunakan selain turut mengenal pasti ruang kelemahan yang terdapat pada skuad bimbingan Mehmet Durakovic.

“Apa pun saya mahu jadikan perlawanan nanti sebagai medan kebangkitan bagi Kelantan dan saya yakin pemain pun sudah dalam keadaan siap siaga untuk diturunkan pada perlawanan Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Meskipun tugasan yang diamanahkan kepadanya bersifat sementara ketika Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedang meneliti beberapa calon ketua jurulatih baru, namun bagi Yusri beliau menganggap ia peluang terbaik untuknya memimpin pasukan besar seperti Kelantan.

“Saya tetap bersyukur walaupun tugasan ini hanya sementara dan jika selepas ini pasukan sudah ada jurulatih baharu, saya tetap sedia bekerjasama dengannya.

“Paling penting biarlah pasukan ini dapat mencipta kejayaan musim ini tidak kira siapa yang membimbingnya selepas ini,” katanya.

Difahamkan, calon jurulatih yang akan membimbing skuad The Red Warriors dijangka hadir menyaksikan perlawanan itu sebagai pemerhati.

Kelantan hanya seri sekali dan kalah dua kali sementara lawannya Perak memegang rekod 1-1-1 dalam tiga perlawanan awal Liga Super musim ini.

sumber: BH

 

Hafizh ‘berhutang’ dengan Poncharal

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali mendedahkan penghijrahan Hafizh Syahrin Abdullah ke kancah MotoGP mungkin tidak terjadi tanpa sokongan penuh prinsipal pasukan Monster Yamaha Tech 3, Herve Poncharal.

Razlan turut mengakui kepercayaannya terhadap Poncharal begitu tinggi hingga beliau tidak mempunyai ‘pelan B’ jika perjanjian itu tidak berhasil.

Berita mengenai penyertaan Hafizh ke pasukan Tech 3 bagi menggantikan Jonas Folger tersebar luas sejak ujian pramusim di Sepang, bulan lalu tetapi wujud persoalan ia mungkin tidak berlaku jika penaja utama pasukan itu tidak memihak pelumba Malaysia itu.

SIC Racing Team, pasukan yang sepatutnya disertai Hafizh untuk berlumba dalam kelas Moto2 tahun ini, sudah menamakan Zulfahmi Khairuddin sebagai pelumba sekali gus tiada tempat untuknya jika perjanjian itu gagal.

“Herve antara insan paling berpengalaman di paddock dan saya sering membuat rujukan kepadanya untuk mendapatkan nasihat setiap kali kami bertemu ketika Grand Prix,” kata Razlan.

“Saya juga membuat rujukan dengannya bagi mendapatkan nasihat bagaimana untuk membawa Hafizh ke MotoGP tahun depan dan dari situlah ia bermula.

“Sebenarnya, semuanya sudah disahkan (secara lisan) pada hari pertama ujian musim sejuk di Sepang. Herve, Yamaha malah Carmelo Ezpeleta (CEO Dorna) semuanya mahukan Hafizh tapi ada masalah dengan satu penaja yang tidak bersetuju kerana dia bukannya nama besar dalam sukan ini.

“Tapi Herve bertegas dengan keputusannya dan memberitahu saya beliau akan meneruskan perancangan untuk menandatangani Hafizh. Sudah tentu Herve perlu menjadi seorang yang bijak, tenang, menggunakan pendekatan lebih profesional dengan penaja kerana mereka sudah bersama agak lama.

“Tapi beliau juga memberitahu saya mereka tidak mempunyai hak untuk memilih siapa penunggang yang akan bersama pasukan.

“Kami bercakap di telefon setiap hari malah beliau menyatakan kepada saya mereka mungkin akan meninggalkan penaja itu jika mereka tidak menerima Hafizh, jadi ia (sokongannya terhadap Hafizh) terlalu tinggi.

“Pada akhirnya, ia berjalan dengan baik dan saya percaya penaja juga menerima Hafizh. Daripada apa yang saya lihat, pasukan ini benar-benar menyokong Hafizh dan seperti saya katakan sebelum ini, saya akan membiarkan mereka membentuknya sebagai pelumba.”

Razlan juga mendedahkan prestasi Hafizh ketika ujian selama tiga hari di Buriram memberi keyakinan tambahan buat pasukan itu.

“Mengikat Hafizh satu risiko besar buat semua yang terbabit tapi pasukan benar-benar kagum dengan prestasi Hafizh ketika ujian kerana sekalipun dia di bawah tekanan yang amat besar, dia masih mampu memberikan apa yang mereka mahu.

“Hafizh tidak pernah menunggang jentera MotoGP sebelum ini, beraksi di litar yang tidak biasa dengannya (Buriram) dan juga memikul beban jangkaan besar menjadi pelumba pertama Malaysia berlumba di MotoGP.

“Dia juga mempunyai kekurangan jika dibandingkan dengan beberapa lagi pelumba baharu di MotoGP kerana mereka sudah menjalani dua hingga tiga ujian bersama pasukan mereka sebelum tiba di Buriram.”

Di Thailand, Hafizh menamatkan sesi ujian selaku pelumba ke-22 terpantas daripada keseluruhan 24 pelumba dengan perlumbaan pembuka musim MotoGP dijadualkan pada 18 Mac ini di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

sumber: HM

 

Tiki- Taka Kedah, Marcote bersuara

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan 2 kelab Penyokong Kedah desak jurulatih pasukan itu, Ramon Marcote kembali kepada corak permainan tiki-taka seperti yang dipamerkan pada musim lalu.

Menurut laporan itu, mereka beranggapan gaya permainan dari Sepanyol itu sebenarnya lebih sesuai dengan susuk fizikal pemain skuad Helang Merah.

Salah seorang daripada Presiden kelab penyokong itu berkata corak hantaran jauh tidak sesuai dengan skuad Helang Merah kerana mudah dibaca oleh pihak lawan.

Mengulas mengenai perkara itu kepada Berita Harian, Marcote menafikan telah mengubah corak permainan sebenar dan mendedahkan beliau ialah orang yang membawa gaya permainan dari Sepanyol itu ketika menjadi pembantu Tan Cheng Hoe pada tahun 2015.

Marcote pernah jadi pembantu kepada Tan Cheng Hoe pada tahun 2015.

“Saya yang membawa corak permainan ini dalam pasukan Kedah kerana inilah gaya yang kami pertahankan di Sepanyol serta membawa pelbagai kejayaan.

“Ia adalah gaya permainan yang saya yakini serta lakukan dalam latihan setiap hari. Malah sejak tahun 2015, Kedah menikmati kejayaan dengan cara ini,” katanya.

Menurut Marcote, untuk menerapkan corak permainan tiki-taka Kedah perlu meletakkan pemain yang betul di setiap posisi.

“Tetapi untuk menerapkan corak permainan sebegini, pasukan memerlukan pemain yang betul secara teknikal dan taktikal.

“Semua orang perlu faham bahawa sejak awal musim, kami berdepan kesukaran kerana masalah kecederaan serta penggantungan yang menghalang kami memiliki keseluruhan pasukan.

“Bila anda kehilangan ramai pemain utama, keadaan menjadi sukar. Dalam semua perlawanan setakat ini, belum sekali pun kami dapat menurunkan kelima-lima pemain import secara serentak.

“Itu belum ditambah dengan kecederaan atau masalah kesihatan dialami pemain utama tempatan,” jelasnya.

Pasukan Kedah giat menjalani latihan dan membuat persiapan rapi dibawah kendalian Ramon Marcote. FOTO: Kedah FA

Beliau juga menafikan dakwaan sesetengah penyokong yang mengatakan identiti permainan pasukan Kedah kini telah berubah sejak dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan itu.

“Jika ada yang mengatakan saya mahu mengubah gaya kami, mereka silap. Saya yang membawa idea permainan ini kepada Kedah pada tahun 2015, jadi mana mungkin saya pula mahu menukarnya.

“Saya mengaku, setakat ini kami belum mencapai corak permainan yang kami mahukan namun pemain bekerja keras untuk menjadikan ia lebih baik setiap hari. Saya yakin ia akan dicapai, penyokong perlu bersabar,” ujarnya.

kredit:- semuanyabola

Jadual Perlawanan Liga Super Minggu Ini

BERIKUT adalah jadual perlawanan Liga Super minggu ini:

Jumaat, 23 Februari

Negeri Sembilan lwn Terengganu

Sabtu, 24 Februari

JDT lwn Melaka United

Kelantan lwn Perak

Selangor lwn Pahang

PKNP lwn Kuala Lumpur

Ahad, 25 Februari

PKNS lwn Kedah

Sumber: mstar

Mourinho Ada Alasan Sendiri Letak Pogba Di Bangku Simpanan

HANYA Jose Mourinho sahaja yang tahu status pemain termahalnya Paul Pogba.

Sejak minggu lalu Mourinho terus diaju dengan persoalan mengenai pemain bernilai 89 juta pound itu sehingga membuatkan Mourinho bengang.

Ketika aksi seri 0-0 bertemu Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis, Pogba sekali lagi diletakan di bangku simpanan.

Pemain muda, Scott McTominay menggantikan posisi pemain antarabangsa Perancis itu.

Dia hanya dipanggil bermain dalam tempoh 17 minit terakhir selepas Ander Herrera mengalami kecederaan.

Minggu lalu, Mourinho memberitahu Pogba akan diturunkan pada aksi Piala FA bertemu Huddersfield, namun kelibatnya tidak kelihatan kerana dikatakan tidak sihat.

“Anda akan selalu pergi kepada pemain yang tidak ada dalam senarai.

“Sabtu lalu, Paul tidak boleh bermain kerana tidak sihat. Kita percaya dalam perlawanan seperti ini kita perlukan pemain yang mempunyai kecergasan seratus peratus.

“Paul memberi kami keraguan apabila tidak beraksi, keputusannya sendiri. Dia tidak sihat,” ujar Mourinho.

Menjelang perlawanan Sabtu lalu, doktor Pogba memberitahu bahawa pemain itu tidak sihat.

Namun pada Ahad, Pogba kelihatan turun berlatih bersama Zlatan Ibramovic dan memberitahu dia sudah sihat.

Sumber: mstar

Faris Ramli Anggap Safee Sali Sebagai

Faris Ramli Anggap Safee Sali Sebagai ‘Wayne Rooney Malaysia’

Pemain sayap PKNS FC kelahiran Singapura, Faris Ramli memuji prestasi pasukannya yang masih belum mencatat sebarang kekalahan selepas 3 perlawanan Liga Super musim ini.

PKNS FC kini menduduki tangga taratas Liga Super apabila mengumpulkan 7 mata selepas seri 2-2 dengan Terengganu FC dan menewaskan Pahang dan Perak dengan jaringan 1-0 dan 2-0.

Faris yang sebelum ini bermain untuk pasukan Home United dalam saingan Liga Singapura dengan 30 penampilan menyifatkan saingan Liga Super musim ini cukup sengit dan semua pasukan mampu membuat kejutan.

Mereka mahu meneruskan rentak cemerlang itu apabila dijadualkan bertemu Kedah di tempat lawan pada 25 Februari ini.

“Permulaan yang baik bagi kami tetapi ianya masih terlalu awal kerana semua pasukan hanya dipisahkan dengan 1 hingga 3 mata sahaja,” katanya seperti dipetik daripada laman FOX Sports Asia.

“Kami tidak mahu meraikannya seperti sudah menjuarai Liga kerana kami sedar musim ini sangat sukar dan sengit. Prestasi semua pasukan semakin meningkat dan mampu menewaskan kami pada bila-bila masa,” katanya.

Safee Sali menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Pahang di Stadium Shah Alam. FOTO: PKNS FC

Faris yang beraksi di luar Singapura untuk kali pertama dalam karier bola sepaknya memberi kredit kepada jurulatih pasukannya, Datuk K Rajagobal dan kapten pasukan itu, Safee Sali yang sentiasa memberikan motivasi kepadanya dan rakan sepasukan.

“Perlawanan selepas ini di tempat lawan menentang Kedah akan menjadi cabaran yang sukar dan jurulatih Rajagobal berusaha mencari idea untuk meletakkan kombinasi barisan pemain yang mantap.

“Jurulatih telah membentuk skuad yang seimbang dengan gandingan pemain muda dan berpengalaman. Namun begitu, tidak semua pemain dijaminkan tempat dalam kesebelasan utama dan kami perlu tunjukkan prestasi terbaik dalam sesi latihan.

“Di atas padang, Safee ialah seorang kapten dan beliau tunjukkan kepada kami bagaimana untuk menyerang dan mengejar pemain lawan setiap kali kami terlepas bola. Beliau mengingatkan saya kepada Wayne Rooney,” katanya.

PKNS FC akan berhadapan dengan pasukan Kedah yang diperkuatkan oleh Andik Vermansyah dan Baddrol Bakhtiar tetapi Faris menyifatkan penyerang import PKNS dari Brazil, Rafael Ramazotti akan menjadi penentu kepada keputusan perlawanan.

Bekas pemain DPMM Brunei itu telah menjaringkan 55 gol dalam 71 perlawanan Liga Singapura selama 3 musim da menjaringkan 3 gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

“Rafa (Rafael Ramazotti) kini berada di tahap terbaik dan beliau telah melengkapkan kekuatan pasukan. Dia boleh bermain sebagai ‘target man’ dan mampu berhubung dengan jentera tengah.

“Kombinasi Safee, Mahali, Rafa dan saya sendiri dalam perlawanan menentang Perak telah menunjukkan potensi sebenar jentera serangan kami.

“Jika beliau terus menjadi sasaran barisan pertahanan pihak lawan, ianya membuka peluang kepada saya untuk melarikan bola dan membuat hantaran tepat,” jelasnya.

Aksi Faris Ramli ketika menentang Perak minggu lepas. FOTO: PKNS FC

Bukan setakat Ramazotti, malah PKNS turut diperkuatkan oleh bekas pemain pertahanan kelab A-League, Zac Anderson.

“Zac mengetuai barisan pertahanan dengan baik dan dia juga sentiasa memastikan pasukan tidak bolos dengan begitu mudah.

“Anda boleh katakan kami ibarat mempunyai menara berkembar dalam skuad PKNS dengan Zac di bahagian pertahanan manakala Rafa di bahagian serangan. Saya menikmati permandangan dari tengah-tengah 2 menara itu dan melakukan magic dari situ,” jelasnya.

PKNS FC menamatkan saingan Liga Super di tangga ke 7 musim lepas dan menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

sumber: semuanyabola

Penyu nak baham Rusa pula

DENGAN bersandarkan barisan sama ketika menundukkan Selangor tempohari, Terengganu FC (TFC) kini sudah sedia mengecewakan Negeri Sembilan (NS) pula apabila bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Jumaat ini.

Malah skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang dibantu Mohamad Nik, Kamaruddin Annuar, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin itu sudah melupakan kekalahan 2-3 dalam saingan Liga Perdana musim lalu.

“Kekalahan kepada NS musim lalu itu tidak akan memberi sebarang impak kepada pasukan kami kerana barisan pemain sedia ada adalah berbeza sebelumnya.

“Selain itu, strategi dan formasi bakal pemain kami tampilkan pada pertemuan itu nanti juga adalah berbeza selain pemain kini kian bersemangat,” kata Mohamad di sini, hari ini.

Pada pusingan pertama saingan Liga Perdana musim lalu, skuad Penyu tewas 2-3 di laman lawannya itu sebelum terikat 2-2 dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang lebih mesra dipanggil ‘Coach Nik’ mengakui anak buahnya kini berada pada tahap prestasi terbaik selain tidak mengalami sebarang masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

“Moral semua pemain kini berada pada tahap tinggi dan sudah bersedia mengharungi perlawanan itu walaupun beraksi di laman lawan. Jelas semangat mereka membuak-buak hasil kejayaan menundukkan Selangor 4-1 sebelum ini.

“Apa yang kami harapkan momentum ini dapat diteruskan. Pemain juga diharap dapat fokus sehingga 90 minit perlawanan bagi memastikan sasaran mengutip tiga mata tercapai sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah,” kata Mohamad.

TFC yang kini menghuni di tangga kelima liga dengan mengutip lima mata berpeluang berada di persada liga sekiranya berjaya mencatat kemenangan dalam pertemuan ini.

sumber: HM