Sistem elektronik resahkan Rossi

BURIRAM, Thailand – Pelumba Movistar Yamaha, Valentino Rossi mengakui bahawa dia tidak mahu memasang impian yang tinggi dalam aksi pembukaan perlumbaan MotoGP musim ini di Litar Losail, Qatar, Mac nanti sekiranya pasukan itu gagal menyelesaikan masalah elektronik pada jenteranya.

Masalah tersebut mengganggu Rossi sejak perlumbaan musim lalu apabila dia dilihat berdepan masalah untuk mendapatkan keserasian dengan jentera M1 dan isu yang sama terus menyelubunginya pa­da sesi ujian pramusim yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang di sini sejak kelmarin.

Rossi mengakui bahawa Yamaha masih bergelut untuk mencari pelarasan terbaik selepas penganjur mensyaratkan semua pasu­kan perlu menggunakan perisian elektronik keluaran Magneti Marelli sejak musim 2016 menye­babkan pasukan itu agak ketinggalan berban­ding Du­cati dan Honda yang sudah berjaya menyelesaikan masalah tersebut.

“Apabila kami bertukar kepada sistem keluaran Magneti Marelli, kami berdepan beberapa masalah. Ia amat sukar untuk difahami.

“Honda dan Ducati lebih ke depan kerana mereka sudah mula mendapat pelarasan terbaik menggunakan sistem tersebut berbanding kami.

“Jadi, saya harap pasukan ini mampu untuk menyelesaikan masalah ini kerana ia sangat menyulitkan.

“Cuma, apa yang mele­ga­­kan adalah kami hanya berdepan masalah itu sa­haja kerana isu yang melibatkan enjin, casis dan ‘swing arm’ menunjukkan perkembangan yang positif.

“Saya fikir kami tidak akan mengambil masa yang lama dalam mencari pela­rasan terbaik bagi masalah elektronik ini.

“Bagaimanapun, saya sangat risau kerana jika gagal bermakna kami tidak mampu untuk mengharapkan permulaan mu­sim yang cemerlang pada perlumbaan pertama. Jadi, saya tidak tahu apa yang perlu kami lakukan,” katanya. – Agensi

sumber: kosmo

 

Sanchez sertai Man United untuk. . .

Seperti semua perpindahan, peralihan Alexis Sanchez ke Manchester United, berkisar kepada wang.

Pada usia selewat 29 tahun, dia kini memegang status pemain bergaji paling besar dalam Liga Perdana Inggeris dengan pendapatan sekitar £500,000 (RM2.73 juta) seminggu – yang diakui bekas pengurusnya di Arsenal, Arsene Wenger, tidak mampu disainginya.

Dalam pada itu, seperti kebanyakan perpindahan, ia turut berkisar kepada cita-cita — Sanchez jelas semakin hampa dengan kegagalan Arsenal untuk melangkaui kejayaan menjulang Piala FA.

Lebih daripada itu, apa yang membezakan tindakannya – lebih daripada kebanyakan perpindahan – berkisar kepada hierarki, dengan menuntut tempatnya dalam senarai keutamaan, dan ringkasnya berkisar kepada kuasa.

Lantaran itulah, Sanchez menegaskan keputusannya membawa haluan ke Manchester United didorong oleh keinginan untuk memenangi segalanya.

Dalam temubual eksklusifnya bersama Thierry Henry menerusi Sky Sports, Sanchez berkata dia baru menyedari betapa besarnya sebuah kelab seperti United sejak berpindah ke Old Trafford daripada Arsenal, bulan lalu.

“Saya sudah memikirkan Manchester United sejak kecil dan saya tidak mengatakan ini kerana ketika ini saya berada di sini. Saya fikir ia adalah kelab terbesar di England, ya itulah yang saya fikirkan.

“Terdapat banyak kelab yang besar dan sesudah bermain untuk Arsenal, mereka juga salah sebuah daripadanya.

“Setelah datang ke United dan melihat lencananya, saya fikir United perlu memenangi segala-galanya kerana ia sebuah kelab gergasi. Lambang kelab ini menceritakan semuanya,” ujarnya.

Sanchez berpindah ke United dalam perjanjian pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan walaupun pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, turut berminat kepadanya.

City berada di landasan untuk memburu empat kejuaraan musim ini tetapi di sebalik peluang lebih besar untuk kejuaraan menuju ke Stadium Etihad, Sanchez tetap percaya United tidak harus dinafikan peluang meraih trofi.

Dan seperti disasarkannya, dia mahu memenangi segala-galanya di Old Trafford.

“Saya datang ke sini untuk memenangi kejuaraan. Saya tinggalkan Arsenal kerana saya mahu berkembang dan belajar sebagai seorang pemain dan meraih pengalaman di sebuah kelab baru.

“Manchester United adalah sebuah kelab besar di peringkat global. Saya datang ke sini untuk menang segala yang ada. Jika tidak kerana itu, saya tidak akan ke sini,” hujahnya.

“Saya juga sangat berbangga untuk menyarung jersi no. 7 United.

“Dan saya tahu ramai orang berkata ada tekanan tambahan memakai jersi itu atau ia mungkin mempunyai badinya sendiri.

“Tapi saya sangat menikmati bola sepak saya, sama ada saya memakai no. 10 atau no. 9, malah no. 14 atau 12!” katanya lagi dalam temubual eksklusif itu.

sumber:stadiumastro

Irfan Buntu ‘Letak’ Pemain – Terengganu FC (TFC)

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui pening untuk menyenaraikan kesebelasan utama menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat ini.

Ini kerana menurut jurulatih berpengalaman berusia 67 tahun itu, majoriti pemainnya di semua posisi mempunyai keupayaan dan kemahiran hampir sama selain masing-masing menunjukkan komitmen tinggi dalam latihan.

“Ini yang membuatkan saya buntu dan jika melihat aksi mereka ketika latihan saya jadi naik gerun, mereka berebut-rebut dan bersungguh-sungguh untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan.

“Bagi saya untuk menyenaraikan 18 pemain dalam sesuatu perlawanan tidak menghadapi masalah, tapi 11 pemain utama ini yang memerlukan penelitian yang rapi, apatah lagi saingan Liga Super kian sengit walaupun baru memasuki tiga perlawanan.

“Namun, komitmen mereka itu satu perkembangan yang sihat dan inilah yang saya cari, bukan hanya dalam aksi sebenar tapi ketika latihan mereka sudah pamerkan aksi yang bersungguh-sungguh,” kata Irfan Bakti.

Selepas tiga aksi terdahulu, skuad Penyu kini menghuni tangga kelima liga dengan mengutip lima mata hasil keputusan seri 2-2 bertemu PKNS FC dan Kelantan (1-1) sebelum menundukkan Selangor 4-1.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti berkata, beliau bakal menurunkan barisan terbaik menentang Negeri Sembilan bagi memastikan misi membawa pulang tiga mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah tercapai.

sumber: HM

 

FMLLP Dedah Empat Pasukan Gagal

PETALING JAYA: Selepas tiga perlawanan Liga Malaysia, Kerjasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mendedahkan beberapa pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran.

FMLLP sebelum ini telah memberi dua kali peluang untuk pasukan melengkapkan dokumen pendaftaran, namun terdapat juga pasukan yang gagal berbuat demikian.

“Seperti kenyataan yang pernah kami keluarkan sebelum ini, tarikh akhir menghantar dokumen adalah pada 3 Februari 2018.

“Tarikh itu merupakan tarikh yang telah dilanjutkan sebanyak dua kali untuk membolehkan pasukan terbabit lengkapkan dokumen yang perlu.

“Tarikh akhir yang asal ialah pada 29 Disember 2017 dan ia telah dilanjutkan kepada 14 Januari 2018 sebelum dilanjutkan lagi kepada 3 Februari 2018,” jelas FMLLP dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi pada Isnin.

Dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur tidak menghantar dokumen yang tidak lengkap, manakala dua pasukan  iaitu Selangor dan PKNS FC telah menghantar melepasi tarikh akhir yang diberikan.

“Selangor telah melengkapkan dokumen pada 11 Februari 2018, manakala PKNS FC pula pada 19 Februari 2018.

“Bagi pasukan 100PLUS Liga Premier Malaysia 2018 pula, empat pasukan masih tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu pasukan Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.

“Manakala ada dua pasukan telah menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang telah ditetapkan. MIFA telah menghantar pada 15 Februari 2018, manakala pasukan UKM FC pula telah menghantar dokumen pada 19 Februari 2018.”

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam  menggesa agar semua pasukan melengkapkan segala dokumen pendaftaran jika tidak mahu insiden dikenakan hukuman pemotongan mata seperti musim lalu berulang.

Sebagai rekod, tahun lalu enam mata dipotong kepada dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan T-Team, serta dua pasukan Liga Perdana, ATM dan Perlis kerana gagal menyelesaikan dokumen pendaftaran.

Sumber: mstar

Doe tak sabar belasah Selangor

KUANTAN: Penyerang Pahang, Forkey Doe yang cemerlang pada penampilan pertama ketika membantu skuad Tok Gajah membenam Kelantan 3-0 pada pertembungan tetangga Pantai Timur, berazam mengekalkan prestasi terbaik itu.

Malah, semangat penyerang kelahiran Liberia itu pasti berkobar-kobar bagi membuktikan bisanya belum hilang menjelang pertemuan menentang bekas pasukannya musim lalu, Selangor di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Sabtu ini.

“Sudah pasti satu gol yang dijaringkan ketika menewaskan Kelantan memberi keyakinan kepada saya. Malah, saya pasti gembira sekiranya dapat terus merobek gawang lawan termasuk Selangor Sabtu ini,” kata penyerang berusia 33 tahun itu.

Menurut penyerang yang pernah muncul penjaring terbanyak Liga Super musim 2012 itu, dia amat berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan jurulatih, Dollah Salleh yang masih mempercayai kemampuannya.

“Mungkin ramai yang meragui kemampuan saya, apatah lagi dengan faktor usia saya. Namun, saya tekad membuktikan tanggapan itu salah sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan PBNP dan Dollah.

“Saya bukan sahaja berharap dapat membantu Pahang menjulang sekurang-kurangnya satu trofi tetapi juga muncul penjaring terbanyak musim ini,” katanya yang mengakui tidak bermasalah membentuk keserasian dengan rakan sepasukan.

sumber: BH

 

Penyokong desak Marcote main cara Kedah sebenar ala Barcelona

KUALA LUMPUR: Penyokong Kedah mendesak jurulatih, Ramon Marcote agar kembali mengaplikasikan corak permainan ‘tiki-taka’ kerana ia bukan sahaja menjadi identiti pasukan itu malah sudah terbukti membawa banyak kejayaan.

Dua kelab penyokong berpengaruh di negeri itu, Jaguh Utara Fan Club (JUFC) dan Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman (KEPDA) juga beranggapan gaya permainan ala kelab gergasi Sepanyol, Barcelona itu juga sudah serasi serta lebih sesuai dengan Helang Merah.

“Sebenarnya apabila Marcote mengambil alih tugas ketua jurulatih, penyokong sangat mengharapkan beliau akan menambahkan lagi cita rasa tiki-taka dalam pasukan kerana beliau sendiri datang dari Sepanyol.

“Tapi apa yang dipertontonkan dalam tiga perlawanan setakat ini sangat memeranjatkan apabila beliau mengubah keseluruhan corak permainan sehingga kami merasakan pasukan yang sedang beraksi itu bukan Kedah.

“Kami amat merindui corak permainan tiki-taka. Ia bukan sahaja menghiburkan malah terbukti sangat berkesan sehingga membawa Kedah menjuarai Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih,” ujar Presiden JUFC, Mohd Safarizal Mohd Sobri.

Sementara itu Presiden KEPDA, Nor Asmadi Hamzah berkata Marcote seharusnya kembali kepada permainan tiki-taka selepas corak baharu yang diperkenalkan jelas tidak sesuai serta kurang berkesan.

“Corak permainan hantaran jauh yang dipraktikkan oleh Kedah sekarang tidak menjadi kerana ia mudah dibaca serta dipatahkan lawan.

“Pemain juga tampak sukar menyesuaikan diri dengan corak baharu yang diaplikasikan Marcote kerana sejak beberapa musim lalu mereka sudah serasi dengan gaya tiki-taka.

“Ia antara sebab mengapa Kedah kalah kepada JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Perak serta hanya menang tipis (1-0) ke atas PKNP. Situasi ini sangat merisaukan penyokong.

“Sepatutnya, Marcote mengekalkan corak permainan yang sudah menjadi identiti Kedah, malah lebih bagus jika dipertingkatkan kerana perubahan drastik sebegini hanya merosakkan pasukan.

“Begitupun masih belum terlambat untuk Marcote memperbaiki kelemahan ini. Kami berharap beliau akan kembali kepada corak permainan tiki-taka yang menjadi senjata Kedah selama ini,” kata Asmadi.

kredit:- BH

KAPTEN Pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar Enggan

KAPTEN pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar enggan mendabik dada walaupun pasukannya berjaya menumpaskan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang baru-baru ini.

Terdahulu, Kedah memperoleh kemenangan sulung 1-0 ketika menentang PKNP FC menerusi jaringan Akhyar Rashid pada minit-minit akhir perlawanan.

Baddrol menganggap kemenangan sulung tersebut sebagai suntikan semangat buat skuad kendalian Ramon Marcote bagi berdepan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 23 Februari ini.

“Kami perlu mengekalkan momentum dan rentak permainan sebelum ini bagi memastikan kami tidak tercicir tiga mata berharga.

“Saya percaya dengan taktikal dan strategi yang direncanakan oleh Marcote akan mampu memberikan keputusan terbaik pada perlawanan keempat nanti.

“Ia memberi kelebihan kepada pemain kerana tidak mengambil masa yang lama untuk serasi memandangkan Marcote masih mengekalkan corak permainan yang digunakan pada musim lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Baddrol mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar perlu berhati-hati dengan kemampuan yang dimiliki beberapa pemain PKNS FC seperti Safee Sali dan Rafael Ramazotti pada aksi tersebut.

“Kita dapat lihat pada perlawanan PKNS sebelum ini, mereka mampu mencipta kejutan seperti apa yang dilakukan Safee pada babak kedua perlawanan menentang Pahang.

“Kami pula perlu menggunakan kelebihan yang ada kerana semua pemain utama Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan dan sentiasa berada dalam kea­daan bersedia untuk diturunkan.

“Bagaimanapun, semua pemain harus sentiasa mencari peluang untuk mengembalikan Kedah ke takhta Liga Super musim ini sebagai salah satu pasukan pilihan memandangkan saingan masih pada peringkat permulaan,” ujarnya.

sumber: kosmo

 

Negeri Sembilan Buat Persiapan Rapi Berdepan Ancaman Terengganu FC

Perlawanan keempat saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 diantara pasukan Negeri Sembilan menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pasti menarik.

Apatah lagi Terengganu masih kekal dengan rekod tanpa kalah selepas 3 perlawanan manakala Negeri Sembilan tekad pamerkan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri sekaligus menewaskan TFC.

Pemain pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Noor Hazrul Mustafa berkata kepada Berita Harian, beliau dan rakan sepasukan sudah lupakan kekalahan kepada Melaka United dan sedia meleburkan rekod tanpa kalah TFC pada hari Jumaat ini.

Bekas pemain Perak itu menegaskan TFC bukan lawan yang mudah kerana mereka merupakan pasukan yang seimbang di setiap bahagian.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu juga membariskan ramai pemain berpengalaman selain tenaga import berwibawa yang dijangka mampu menghalang hajat Negeri Sembilan meneruskan rentak kemenangan di laman sendiri.

Negeri Sembilan membuat persiapan rapi dibawah kendalianJ org Steinebrunner sebelum bertemu TFC pada hari jumaat ini. FOTO: Team n9

“Kekuatan TFC I jelas apabila mereka belum tewas dalam tiga perlawanan lalu, malah pasukan itu baru saja menjadikan Selangor sebagai mangsa dengan kemenangan besar 4-1 pada perlawanan di Kuala Terengganu.

“Walaupun kami memiliki kelebihan kerana beraksi di laman sendiri, tapi kami tidak boleh terlalu yakin untuk dapat laluan mudah kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dan Terengganu sudah pasti akan memberikan tentangan sengit bagi mendapatkan kemenangan.

“Justeru, kami perlu membuat persiapan lebih rapi untuk memastikan kami dapat kekalkan aksi terbaik bagi mengulangi kejayaan menewaskan Kuala Lumpur di gelanggang sama, 7 Februari lalu,” katanya.

Beliau yang pernah beraksi untuk Kelantan berkata, dia dan rakan sepasukan akan memperkemaskan bahagian pertahanan dan menyekat pergerakan jentera serangan TFC.

“Apapun, kami perlu kekal fokus dan berikan persembahan terbaik berpandukan strategi diatur jurulatih (Jorg Steinebrunner) dengan setiap peluang gol diterjemahkan dengan jaringan,” katanya.

sumber: semunyabola

 

“Saya Akan Berpindah Apabila…” – Hazard

EDEN Hazard mendedahkan dia mungkin akan meninggalkan Stamford Bridge.

Hazard memberitahu, kemungkinan untuk berpindah pada musim depan walaupun tidak dinafikan dia gembira bersama Chelsea.

Dilaporkan Paris Saint Germain bersedia membuat tawaran lumayan bagi mendapatkan pemain antarabangsa Belgium ini.

Bukan itu sahaja, kelab gergasi Sepanyol Real Madrid juga berminat mendapat pemain berusia 27 tahun itu.

“Saya masih mempunyai baki kontrak dua tahun. Saya gembira berada di sini. Penyokong sayang saya, keluarga juga selesa di sini. Kita akan lihat nanti.

“Dalam bola sepak semuanya boleh berlaku. Tetapi dalam bola sepak ada juga yang tidak berlaku.

“Setiap tahun mereka bercakap mengenai Real atau PSG.

“Dan apabila saya ingin tukar kelab, saya akan buat. Tetapi untuk masa ini, saya gembira di mana saya berada,” ujarnya kepada Telefoot.

Sumber: mstar

Zubovich sasar robek gawang JDT

MELAKA: Penyerang import Melaka United (MU), Yahor Zubovich menegaskan nafsunya untuk merobek gawang lawan makin membuak-buak selepas meledak tiga gol dalam aksi Liga Super setakat ini.

Justeru, penyerang kelahiran Belarus itu yang menyumbat gol pertama ketika menentang Kelantan sebelum mencetak dua lagi jaringan ketika bertemu Negeri Sembilan, mahu menjadikan gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai sasaran seterusnya untuk dirobek pada 24 Februari ini.

“Tugas sebagai penyerang adalah menjaringkan gol dan sudah tentu saya sangat gembira dengan tiga gol yang sudah dihasilkan setakat ini.

“Malah, saya harap dapat menambah lagi jaringan bagi membantu pasukan mencipta kemenangan termasuk menentang JDT nanti.

“Namun, saya harus akui tanpa kerjasama rakan sepasukan, sudah pasti sukar untuk berbuat demikian,” katanya hari ini.

Penyerang berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengakui pasukannya perlu berhati-hati apabila bertandang ke Larkin.

“Walaupun JDT pasukan yang kuat, saya dan rakan sepasukan tetap menyimpan hasrat mengejutkan juara bertahan itu,” katanya.

sumber: BH