‘Dua awang import Perak kurang beradab’

“Aksi provokasi terlampau ditunjukkan dua awang import Perak membuktikan pemain itu kurang beradab.”

Itu komen Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim terhadap tindakan dua pemain Perak, Leandro Dos Santos dan Wander Luiz yang menunjukkan aksi terlampau selepas pertahanan Terengganu FC (TFC), Igor Zonjic tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-120 yang menyaksikan keputusan perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti.

“Mereka tidak menghormati dan tidak mengendahkan tatasusila masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

Hishamuddin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, pemain berhak mempamer pelbagai gaya untuk meraikan kemenangan tetapi adab dan tatasusila perlu diutamakan.

Katanya, gelagat dan aksi ditunjukkan Leandro dan Wander itu jika dibiarkan boleh mencetuskan pergaduhan sesama pemain selain menimbulkan kemarahan penyokong bola sepak yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kelakuan kurang sopan Leandro dan Wander ketika meraikan kemenangan boleh dielakkan jika pengurusan bola sepak menerapkan nilai kesopanan serta tatasusila kepada semua pemain terutama pemain import.

“Saya yang ketika itu berada bersama beberapa beberapa pemimpin di tempat duduk tetamu jemputan khas terkilan dan terkejut apabila melihat dengan jelas gelagat kurang sopan ditunjukkan Leandro dan Wander,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. Hishamuddin berkata, kejadian itu juga menjadi pedoman buat PBSNT untuk menerap dan mementingkan nilai tatasusila serta adab kepada semua pemain, termasuk import yang dibimbang ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *