Durakovic kekal di Perak musim depan

IPOH – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengesahkan jurulatih pasukan itu, Mehmet Durakovic kekal bersama Perak pada musim depan selepas kejayaan pasukan itu menjulang Piala Malaysia malam tadi.

Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada jurulatih berasal dari Australia itu sewaktu dia mengambil alih kepimpinan Pafa.

“Saya telah memberitahu beliau bahawa kontraknya akan disambung sekiranya berjaya membawa pasukan Perak memasuki peringkat akhir Piala Malaysia dan beliau telah pun melaksanakan tugas tersebut dengan baik.

“Kini beliau sekali lagi menunjukkan kecemerlangan membimbing pasukan selepas berjaya menjulang Piala Malaysia 2018,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyambut ketibaan piala berprestij itu tiba di Stadium Perak di sini tengah hari tadi.

Menurut Hasnul Zulkarnain, Durakovic sendiri telah memberikan persetujuan lisan untuk terus mengemudi The Bos Gaurus pada musim akan datang.

“Pafa juga menafikan khabar angin bahawa gaji jurulatih akan dikurangkan.

“Mustahil untuk kita turunkan gaji beliau selepas berjaya membawa satu piala yang sangat diidamkan semua pasukan yang beraksi ini ke Perak,” katanya

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain menjelaskan, insentif kejayaan kepada para pemain dan pengurusan pasukan akan diumumkan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu selepas beliau kembali bertugas pada Khamis ini selepas bercuti. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *