Gol ‘Puskas’ Ronaldo gegar Turin – VIDEO

TURIN, Itali: Cristiano Ronaldo muncul pemain pertama menjaringkan gol dalam 10 perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut apabila dia meledak dua gol untuk kemenangan 3-0  juara bertahan Real Madrid ke atas Juventus pada aksi pertama suku akhir awal pagi tadi.

Ronaldo membuka jaringan di Turin hanya tiga minit selepas sepak mula dan menambah gol kedua sejam kemudian dengan sepakan gunting, menjadikan 14 gol keseluruhan dijaringkan dalam saingan tertinggi Eropah itu musim ini.

Penyerang Juventus Paulo Dybala dibuang padang pada minit ke-66 sebelum Ronaldo membuat umpanan kepada Marcelo untuk gol ketiga yang memberikan bekalan selesa buat Real menjelang aksi timbal balik di Madrid pada 11 April.

Bintang 33 tahun Portugal itu sebelum ini berkongsi rekod jaringan dengan bekas rakan sepasukan Manchester United Ruud van Nilstelrooy, yang menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut antara tahun 2002 dan 2003.

“Anda boleh katakan dia salah seorang daripada pemain paling cantik dalam sejarah bola sepak,” kata pengendali Real Madrid Zinedine Zidane yang pernah beraksi untuk Juve selama lima musim.

“Bukan mudah untuk mendapatkan tiga gol mengatasi Juve di laman mereka. Tetapi di akhirnya ia adalah kerjasama, anda perlu bekerja sebagai satu pasukan untuk mendapatkan keputusan sebegini.”

“Sudah tentu Juventus tidak gembira dengan keputusan malam ini, tetapi Juve sentiasa di hati saya.”

Sementara itu pengendali Juventus Massimiliano Allegri mengakui kekalahan berkenaan sukar diterima selepas turut tewas pada aksi final di Cardiff tahun lalu.

“Keputusan 3-0 ini memang sukar untuk diterima,” kata Allegri yang berjaya membimbing kelab Itali itu ke dua aksi final sepanjang tiga musim lalu.

“Pada pendapat saya, dari Cardiff sehingga hari ini, kami menunjukkan peningkatan ketara. Kami berdepan pasukan yang mempunyai pemain terbaik di dunia.”

Ronaldo – yang kini meledak 23 gol dalam semua pertandingan untuk Madrid tahun ini – menerima tepukan hormat daripada penyokong Juventus selepas tamat permainan.

sumber: HM

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *