“JANGAN buat lawak!’,” kata bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali

“JANGAN buat lawak!’,” kata bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali.

Khalid yang membarisi skuad Olimpik Moscow 1980 itu mengakui dia bukanlah calon yang layak untuk menggantikan tempat Nelo Vingada sebagai jurulatih skuad kebangsaan selepas pengendali kelahiran Portugal itu meletakkan jawatannya berkuat-kuasa serta-merta, semalam.

Malah, dia turut membidas sekelompok penyokong bola sepak tempatan yang mahukan dia untuk menjadi jurulatih skuad Harimau Malaya susulan kelantangannya yang kerap melemparkan kritikan terhadap senario bola sepak tempatan sebelum ini.

“Mereka yang calonkan saya untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan itu sebenarnya orang tak cukup oksigen. Sebab itulah mereka hanya bercakap tanpa berfikir langsung jadi saya anggap mereka bergurau sahaja.

“Jujurnya, saya akui memang tidak layak untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan kerana ia bukanlah perkara mudah memandangkan ia memerlukan pengalaman cukup luas. Saya bukanlah orangnya.

“‘Memang saya seorang yang lantang tetapi ia lebih kepada untuk melontarkan pendapat atas kapasiti bekas pemain bola sepak yang mahu melihat bola sepak negara kembali bangkit dan menyerlah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan peletakan jawatan Vingada, netizen di laman media sosial mencadangkan bekas penggempur The Red Giants itu sebagai jurulatih baharu diikuti rakan sepasukannya dalam skuad Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir serta seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh.

Mengulas lanjut mengenai kekosongan bagi jawatan jurulatih skuad kebangsaan, Khalid menegaskan perkara itu tidak menjadi kerisauan kerana baginya, lebih penting fokus kepada pembangunan untuk melahirkan pemain bola sepak yang benar-benar berkualiti dan sekurang-kurangnya bertaraf benua Asia.

“Tugas pengendali kebangsaan mungkin boleh diberikan kepada jurulatih tempatan dan saya melihat tiga nama yang paling sesuai iaitu Datuk Ong Kim Swee, Datuk K Rajagobal dan juga Tan Cheng Hoe.

“Belum masanya lagi kita menggunakan jurulatih luar kerana mereka datang untuk melatih dan bukannya membentuk pasukan. Jika kita berjaya bentuk pemain yang sekurang-kurangnya mampu bersaing di peringkat Asia, barulah kita boleh mengupah jurulatih asing,” katanya.

sumber: HM

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *