JDT sedia cabar Pahang

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak bersedia untuk memberi cabaran apabila berdepan Pahang pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Jumaat ini.

Jurulatih Harimau Selatan, Raul Longhi menegaskan semua pemain berada di tahap kecergasan yang memuaskan dan memberi sepenuh komitmen terhadap latihan fizikal dan taktikal sepanjang tempoh rehat saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Bagaimanapun, Longhi berkata, S Kunanlan mungkin tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan di buku lali dan tahap kecergasan pemain itu dipantau oleh pegawai fisioterapi untuk memastikan dia pulih sepenuhnya.

“Jika Kunanlan tidak dapat diturunkan, kami masih ada pemain gantian yang boleh mengisi posisi pertahanan kanan dan senario itu tidak menggusarkan saya kerana pemain simpanan memiliki kualiti setanding.

“Saya akui pertembungan dengan skuad kendalian Dollah Salleh tampak sukar kerana mereka pasti mahu menggunakan kesempatan beraksi di laman sediri tapi kami tetap bersedia untuk menang pada aksi itu dan harus memperagakan corak permainan bijak.

“Falsafah dalam JDT mengutamakan mentaliti positif dan sentiasa beraksi konsisten kerana ia penting untuk memburu kemenangan.

“Suku akhir dijalankan secara timbal balik dan kami perlu memberi lebih 100 peratus pada aksi pertama dan mengekalkan momentum pada baki 90 minit di Larkin selepas ini,” katanya.

Perancangan taktikal Longhi bukan untuk bertahan apabila bertandang ke Kuantan, Jumaat ini, sebaliknya tetap dengan percaturan memburu kemenangan tatkala beliau tampak mahu menebus kekalahan 3-4 musim lalu yang menyebabkan JDT gagal ke separuh akhir.

Longhi berkata, pemain memahami perancangan formasi yang dibentuk dan mereka mampu mengubah mengikut kesesuaian rentak permainan dan keutamaan adalah memperagakan aksi konsisten selain tidak melakukan kesilapan mudah.

sumber: BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *