Kafa Kekal Sebahagian Besar Pemain

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengekalkan sebahagian besar pemain pasukan Kelantan musim ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Presidennya Bibi Ramjani Ilias Khan (gambar) berkata pemain yang dikekalkan ialah penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan Mohamad Ramadhan Ab Hamid, lima pemain tengah iaitu Mohd Rozaimi Azwar, Faizol Nazlin Sayuti, Mohd Syafiq Abd Rahman, Muhamad Fadhilah Mohd Pauzi dan Muhammad Amir Zikri Pauzi.

Empat permain pertahanan yang dikekalkan ialah Mohd Nasharizam Abdul Rashid, Mohamad Azwan Mohd Aripin, Faris Shah Rosli dan Mohd Farisham Ismail manakala posisi penyerang ialah Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi.

 

“Kami juga memasukkan kembali pemain pertahanan musim ini yang dipinjamkan kepada pasukan Negeri Sembilan iaitu Nik Mohd Shahrul Azim Abdul Halim bagi memperkuatkan pasukan,” katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Bibi Ramjani berkata KAFA juga turut mengekalkan empat pemain tengah Piala Presiden Kelantan iaitu Muhammad Danial Ashraf Abdullah, Mohd Imran Samso, Nik Akih Nik Mat dan Saiful Alias serta seorang penyerang Nik Azli Nik Alias.

“Hanya seorang pemain import musim lalu dikekalkan iaitu Morgaro Gomis (pemain tengah) manakala bagi jurulatih buat masa ini kami bersetuju mengekalkan Sathit Benson bagi mengendalikan latihan yang akan bermula pada 20 Nov ini,” katanya.

Beliau berkata bagi tiga pemain ‘otai’ Kelantan iaitu ketua pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi, pemain tengah Indra Putra Mahayuddin dan penyerang Mohd Nor Farhan Muhammad, pihaknya dalam proses berunding dengan pemain tersebut.

“Kami juga meminta barisan kejurulatihan pasukan melakukan penilaian ke atas pemain tempatan dari luar Kelantan yang berhasrat menyertai pasukan Kelantan selain melakukan penilaian terhadap pemain import,” katanya.

Dari aspek penajaan pasukan musim depan, beliau berkata pihaknya masih melakukan perbincangan dengan pihak penaja yang mahu membuat tajaan. – Bernama

Sumber:- mstar

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *