Keadaan di Stadium Shah Alam

SHAH ALAM: Tenang dan terkawal.

Itulah yang boleh digambarkan mengenai suasana menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak di Stadium Shah Alam, setakat jam 4.30 petang ini.

Kehadiran kedua-dua penyokong pasukan finalis itu mewujudkan ‘lautan warna’ selepas penyokong skuad Penyu menyarung jersi tradisi berwarna hitam dan putih sementara penyokong The Bos Gaurus dengan jersi berwarna kuning dan hitam.

Meskipun puluhan ribu penyokong membanjiri pekarangan stadium, namun tiada kejadian tidak diingini yang berlaku sekali gus membuktikan betapa tingginya semangat kesukanan yang ditunjukkan penyokong kedua-dua pasukan.

Nyata permusuhan di atas padang tidak dibawa ke luar padang apabila ada antara kelompok penyokong yang tidak berdepan masalah untuk bergambar bersama penyokong lawan yang berlainan ‘jersi’.

Pelbagai gelagat dan gaya ditampilkan kedua-dua penyokong bagi menghangatkan suasana dengan mengecat muka, memakai topi yang pelik dan pelbagai lagi gaya pakaian turut ditampilkan.

Tidak ketinggalan terdapat sebilangan penyokong yang turut menggayakan baju hujan gara-gara hujan lebat sejak jam 2.45 petang tadi.

Mereka turut menjerit kegembiraan sambil diiringi nyanyian lagu negeri masing-masing apabila dibenarkan masuk kira-kira lima jam sebelum perlawanan berlangsung pada jam 9 malam ini dengan bantuan kawalan pihak berkuasa.

Kali terakhir rakyat Terengganu menikmati kejayaan menjulang Piala Malaysia pada 17 tahun lalu manakala Perak pula sudah memenangi trofi berprestij itu sebanyak tujuh kali dengan kali terakhir pada 2000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *