Konspirasi Singkir TMJ Presiden FAM ‘Kerja Gila’

SEREMBAN – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan konspirasi untuk menyingkirkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ‘kerja orang gila.’

Katanya, Tunku Ismail baharu sahaja dilantik sebagai presiden yang baharu dan telah menunjukkan perubahan dan peningkatan mutu bola sepak negara, dan seharusnya diberikan peluang untuk menerajui badan itu.

“Kalau ada konspirasi, ini kerja orang gila sebab kita baru pilih presiden. Baginda dah mula buat perubahan dan ada peningkatan, jadi kenapa kita nak kacau dia, bagi dia buat kerja.

 

“Kalau ada konspirasi ini, saya tak setuju langsung dan kita sama-sama lawan konspirasi itu. Kita beri sokongan pada presiden baru, bagi dia buat kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Badminton Piala Emas Yuen Loong yang ke-48, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media Rabu lepas yang memetik Tunku Ismail sebagai berkata terdapat konspirasi untuk ‘mencarasnya’ dalam jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara.

Laporan itu juga menyebut Tunku Ismail sendiri mendedahkan ada segelintir ahli exco yang bersekongkol yang mahu beliau melepaskan jawatan tertinggi dan ada juga yang cuba mengeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif, Perkongsian Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Terdahulu, Khairy, dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bekas Pelajar Ma Hwa Rasah yang menganjurkan kejohanan badminton amatur itu secara berterusan selama 48 tahun, sejak 1969, sekali gus mencatatkan rekod dalam Malaysia Book Of Records sebagai kejohanan paling lama dianjurkan di negara ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

– BERNAMA / mynewshub

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *