Laluan Getir Bertukar mudah buat JDT

SKUAD Pahang mungkin kehilangan khidmat Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan pada lutut kanan ketika perlawanan pusingan ketiga Piala FA bertemu Kedah, Sabtu lalu.

Pengendalinya, Dollah Salleh berkata, kecederaan yang dialami penyerang Liberia itu serius dan dijangka memerlukan tempoh masa panjang untuk pulih.

“Kami masih memantau tahap kecederaan yang dialami Doe dan harap ia tidak serius untuk memastikan dia kembali bersama pasukan.

“Setakat ini, saya hanya menunggu keputusan pakar perubatan untuk mengetahui kecederaan itu sama ada ia cepat pulih atau sebaliknya ,” katanya di sini, hari ini.
Pada aksi pusingan ketiga, Doe terpaksa diusung keluar seawal minit ke-10 selepas mengalami kecederaan pada lutut kanannya.

Ketiadaan pemain berumur 33 tahun itu ternyata memberi kesan di bahagian serangan skuad Tok Gajah apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah.

Pada masa sama, Pahang diundi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir Piala FA yang memerlukan skuad itu lebih bersedia untuk menewaskan lawan.

Ditanya kecederaan paha kiri yang dialami Patrick Cruz, Dollah berkata, ia tidak serius seperti yang berlaku kepada Doe.

Katanya, tempoh rehat Liga Super juga membantu untuk memastikan kecederaan yang dialami Cruz pulih sebelum saingan liga.

“Saya harap semua pemain dapat mengekalkan prestasi mereka kerana cabaran besar bakal menanti apabila bertemu JDT pada suku akhir Piala FA nanti,” katanya.

Sumber : HM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *