Main bola cara ‘kotor’

Kuala Lumpur: Selain mengharapkan skil, segelintir pemain bola sepak tempatan dan pihak tertentu yang berkait dengan sukan itu didakwa mengupah ‘bomoh import’ demi memastikan impian bergelar juara terutama dalam perlawanan tumpuan atau final menjadi kenyataan.

Khidmat bomoh import yang menggunakan ilmu hitam itu bukan saja bertujuan menjadikan ayam tambatan sesebuah pasukan kelihatan menggerunkan.

Malah, ada juga yang menggunakan sihir terhadap pemain pasukan lawan agar menjadi longlai dan hilang fokus ketika beraksi di padang.

Khidmat bomoh import dari negara jiran turut ditagih supaya ‘senjata mistik’ mereka kekal ampuh dan acara ritual perbomohan akan dilaksanakan terutama menjelang perlawanan penting.

Ritual seperti menabur beras untuk melemahkan lawan biasanya dilakukan di penjuru padang dan tiang gol.

Dakwaan ini bukan kisah dogengan bola sepak tempatan kerana beberapa pemain tempatan yang ditemui mengesahkan perkara itu, malah mereka turut menempuh pengalaman aneh dan mistik ketika beraksi di atas padang akibat disihir.

Sihir digunakan menyebabkan pemain terutama penyerang menjadi tidak bermaya malah, ada juga mendakwa mereka tidak dapat melihat tiang gol sekali gus hilang fokus ketika mengasak kubu lawan.

Amalan syirik itu bukan perkara baru dalam arena bola sepak tempatan malah ia sudah berlaku sejak era 1970-an dan berterusan sehingga sekarang.

Perkara itu turut didedahkan oleh beberapa pemain bola sepak negara yang pernah menjadi tunjang bagi pasukan beraksi dalam liga tempatan.

Bagi mereka amalan tahyul mengharapkan bantuan jin atau makhluk halus itu sudah menjadi asam garam terutama setiap kali perlawanan penting atau final.

Antara pemain tampil berkongsi pengalaman mereka akibat disihir adalah bekas kapten pasukan Kelantan, Badhri Radzi, 36.

Katanya, dia pernah berasa lemah semangat dan menjadi tidak bermaya secara tiba-tiba sebaik kakinya memijak padang.

Memperincikan kejadian itu, Badhri berkata, kejadian itu berlaku ketika perlawanan suku akhir Piala Malaysia beberapa tahun lalu.

Badhri atau lebih mesra dengan panggilan Piya berkata, dia tidak menolak bahawa ada pihak tertentu yang menggunakan ilmu hitam atau menggunakan khidmat bomoh supaya pemain lawan menjadi lemah serta hilang tumpuan ketika perlawanan berlangsung.

“Penggunaan ilmu hitam serta sihir ini lebih kerap digunakan ketika perlawanan penting dan setiap kali saya berdepan dengan keadaan itu, kami lebih berhati-hati dan hanya berserah kepada Allah SWT.

“Mungkin bagi segelintir pihak apa yang saya kongsi ini sebagai karut namun dalam kalangan pemain bola sepak ia sudah jadi asam garam.

“Kami kena tahu macam mana mahu berdepan situasi ini selain menandingi skill pemain lawan,” katanya.

Piya, mendakwa pada saingan liga pula, perkara berkenaan berulang namun tidaklah kerap dan kebiasaannya hanya membabitkan pemain tonggak dalam sesebuah pasukan.

“Pernah rakan sepasukan tidak nampak gol dan akibatnya bola tersasar jauh situasi itu kelihatan seolah-olah pemain hilang fokus. Perkara ini juga berlaku ketika mengambil sepakan penalti,” katanya.

Berikutan itu sebelum ke padang dia akan mengambil wuduk dan mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran.

Selain Piya, pemain tengah pasukan Selangor, Syahmi Safari, 20, turut tampil berkongsi pengalaman aneh dilaluinya.

Katanya, dia pernah melihat kelibat lembaga sedang bertenggek pada lampu limpah stadium ketika perlawanan Liga Super awal tahun lalu, sekali gus menjejaskan tumpuannya untuk beraksi sepanjang 90 minit permainan.

sumber: HM

“Saya masih ingat lagi ketika bermain secara tiba-tiba ada ‘sesuatu’ di lampu limpah yang mengganggu kami untuk fokus mencipta jaringan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu mungkin membabitkan peminat fanatik apabila sanggup melakukan apa saja bagi memastikan pasukan bola sepak yang diminati memenangi perlawanan,” katanya.

Syahmi yang juga pemain kebangsaan menganggap perkara terbabit bukanlah masalah besar kerana yang penting adalah keupayaan pemain terbabit beraksi di padang.

“Jadi bagi mengatasi gangguan mistik ini pemain beragama Islam akan membaca doa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *