‘Mak tak mampu, tak ada duit’

 

ALOR GAJAH – “Walaupun kami sekeluarga hidup susah, tapi saya tetap ajar anak berpuasa dan hingga kini dia dapat berpuasa penuh,” kata Azlina Budin, 37.

Azlina kini bersama suami dan dua anaknya menetap di sebuah pondok di Kampung Gangsa, Durian Tunggal.

 

Menurutnya, dia sekeluarga mula mendiami pondok berkenaan sejak Julai tahun lalu, setelah tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan di kampung yang sama.

Katanya, walaupun serba kekurangan namun tidak menghalang dia dan suami serta anak sulungnya, Arisa Darwina Awang, 8, berpuasa biarpun hanya bersahur dan berbuka dengan makanan ala kadar termasuk nasi berlaukkan telur.

 

“Anak juga ada minta nak beli baju raya yang cantik. Tapi disebabkan hidup susah, saya hanya mampu belikan baju murah atau dari kedai pakaian terpakai. Baju ni juga termasuk untuk anak kedua Akif Darwisy, 3.

“Saya kata padanya, mak tak mampu dan tak ada duit. Walaupun nampak dia kecewa, tapi dia seperti faham keadaan keluarga dan tak pernah desak atau memilih-milih seperti orang lain,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

 

Ujar Azlina, suaminya hanya bekerja kampung, selain tidak menerima sebarang bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

 

 

Menurutnya, pada asalnya pondok yang dihuni itu dibina oleh arwah ayahnya untuk meletakkan barang lama.

“Tapi sebab tak ada pilihan lain, kami terpaksa ambil keputusan berpindah ke pondok ini. Pondok ni juga dibina atas rezab tanah kereta api yang pernah dipohon arwah ayah sebelum ini.

 

“Sebelum ni saya pernah beberapa kali usaha untuk cari rumah sewa lain. Tapi sebab bayaran yang lebih RM250, jadi saya tak mampu. Kami sekeluarga reda tinggal di pondok kecil ini.

“Di ruang yang kecil ini saya masak dan mandi. Ruang hujung untuk saya dan anak perempuan tidur. Kalau hujan lebat air akan masuk ke dalam rumah tapi kami sudah lali,” katanya.

 

Tambahnya, dia juga pasrah terpaksa menggunakan air perigi untuk aktiviti harian seperti memasak selain menumpang bekalan elektrik dari sebuah kedai kopi dengan kadar bayaran RM40 sebulan.

 

 

Menurutnya, dia berharap kali ini menjadi Ramadan terakhir dia sekeluarga tinggal di pondok tersebut yang juga berdekatan dengan semak, sehingga sering diancam haiwan berbisa dan ular.

“Saya harap Ramadan ni, masih ada sinar untuk saya dapat rumah yang lebih selesa untuk kami sekeluarga.

“Terima kasih juga kepada mereka yang prihatin menghulurkan sumbangan,” katanya.

 

Cari rumah sewa baharu

Sementara itu, Adun Durian Tunggal, Datuk Ab Wahab Ab Latip, yang dihubungi Sinar Harian, mengakui kelemahan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gangsa, yang gagal memaklumkan nasib keluarga itu kepada beliau termasuk Japerun Durian Tunggal.

 

 

Menurutnya, beliau menggesa pengerusi JKKK yang dilantik dalam Dun itu untuk lebih proaktif mengesan penduduk di kawasan mereka yang perlu dibantu.

“Ini lebih-lebih lagi melibatkan keluarga tersebut yang telah lebih setahun menetap di situ.

 

“Setelah mengetahui mengenai kes ini, saya telah pun turun padang melawat keluarga ini dan menyampaikan bantuan asas.

“Kita juga kini sedang dalam usaha untuk membantu keluarga ini mendapatkan rumah sewa berdekatan untuk diduduki.

“Selain itu JKM juga akan menyalurkan bantuan kepada keluarga ini,” katanya.

sumber:sinarharian.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *