‘Menang JDT, kalah final tiada makna’

SHAH ALAM: Meskipun sudah menumbangkan pasukan terbaik Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT), saingan lebih sukar menanti Terengganu FC (TFC) apabila turun berentap dengan Perak pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Perkara itu diakui penyerang prolifik TFC, Kipre Tchetche yang menyifatkan tiada laluan mudah buat pasukannya menamatkan kemarau 17 tahun trofi berprestij itu walaupun diletakkan sebagai pilihan.

“Perak pasukan yang bagus dan bagi saya tiada sesiapapun yang menjadi pilihan untuk final malam esok. Malah, kalau dilihat pada pertemuan terdahulu masing-masing mencatat dua kemenangan daripada empat perlawanan antara kami musim ini.

“Ini adalah final dan ia adalah pentas berbeza berbanding ketika separuh akhir menentang JDT. Bagi saya kemenangan ke atas JDT tidak akan memberi sebarang makna sekiranya tidak julang Piala Malaysia.

“Jadi, untuk membuktikan sebagai pasukan terbaik di Malaysia kami perlu memenangi perlawanan final malam esok,” katanya pada sidang media praperlawanan di stadium Shah Alam, hari ini.

Tchetche, 31, mempamerkan aksi memukau pada aksi timbal balik kedua separuh akhir bertemu JDT apabila meledak dua gol untuk membantu skuad Penyu mengikat lawannya itu 2-2.

Ia memadai untuk membawa mereka ke final dengan kemenangan agregat 3-2 selain memastikan awang import dari Ivory Coast itu kini hanya ketinggalan satu gol di belakang penyerang Kuala Lumpur, Guilherme de Paula yang mengungguli senarai penjaring terbanyak dengan lapan gol.

Bagaimanapun, dia berdepan saingan sengit bagi perebutan anugerah penjaring terbanyak apabila rakan sepasukannya, Lee Tuck dan penyerang Perak, Gilmar da Silva turut meledak tujuh gol pada kempen Piala Malaysia kali ini.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenainya (anugerah penjaring terbanyak). Apa yang penting kemenangan pasukan, lagipun semua pemain boleh jaringkan gol.

“Saya berjuang untuk pasukan, malah kemenangan Terengganu lebih menggembirakan saya berbanding anugerah berkenaan. Saya pasti hanya gelaran Piala Malaysia mampu menggembirakan penyokong Terengganu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *