Najib berang diasak isu berlian, derma RM2.6b ?

KUALA LUMPUR – Belum reda isu pelbagai pertuduhan dikenakan terhadapnya, terbaru, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan gagal mengawal perasaan ketika ditemubual organisasi media antarabangsa.

Menurut Al-Jazeera, Najib beberapa kali gagal mengekalkan ketenangannya apabila menjawab soalan pengacara, Mary Ann Jolley dalam program 101 East, hari ini.

Al Jazeera berkata, antara soalan yang ditanya kepada Ahli Parlimen Pekan itu adalah perkara berkait dengan dirinya termasuk ‘berlian merah jambu’ dan ‘derma RM2.6 bilion’.

Tambahnya, Najib dikatakan kelihatan tidak begitu menyukai soalan berkaitan ‘berlian merah jambu’ yang diajukan kepadanya.

Malah, Najib juga mengakui secara terbuka bahawa beliau tidak menyesal mengusir pengacara rancangan tersebut (Mary Ann Jolley) dari Malaysia pada 2015.

“Baguslah kami usir anda. Anda hanya menyibuk. Di negara ini kami tiada toleransi terhadap (perbuatan) mereka-reka penipuan,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan BN pernah mengusir Jolley kerana membuat liputan kes pembunuhan Altantuya Sharibuu.

Beliau menerbitkan sebuah dokumentari yang cuba menjelaskan banyak persoalan tidak terjawab berhubung kes pembunuhan wanita warga Mongolia itu.

Wawancara tersebut dijadual disiarkan esok (27 Oktober 2018) pada jam 11.30 pagi diikuti siaran ulangan pada Isnin dan Selasa

Rancangan itu juga boleh ditonton secara atas talian selepas ia disiarkan buat pertama kali esok.

Kisah terbaru melibatkan Najib itu pastinya mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *