Najib umum kenaikan gaji, banyak insentif untuk penjawat awam, pesara

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai nanti.

Mengumumkan berita gembira itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (Mappa XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam, Najib yang juga menteri kewangan, turut mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam dan golongan pesara.

Beliau berkata, pemberian kenaikan gaji itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan dan kenaikan ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

“Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan, di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi 2018,” katanya yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh penjawat awam sambil berdiri sebagai tanda penghargaan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Mappa merupakan acara tahunan di mana perdana menteri akan menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Insentif lain termasuk kuota haji khas untuk pesara kerajaan, kenaikan pencen 1% mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2018 dan cuti tanpa rekod maksimum 7 hari untuk penjawat awam bukan Islam melakukan aktiviti keagamaan.

sumber: freemalaysiatoday.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *