Lagu baharu, 10 drum khas untuk TFC

LAGU baharu dengan iringan kekuatan 10 drum khas yang akan dibawa Ultras Tranung ke Stadium Shah Alam bagi aksi final Piala Malaysia malam esok pastinya akan menyemarakkan lagi kehangatan suasana.

Bukan itu sahaja, dengan bimbingan tiga ‘capo’, 20 ‘curva crew’ dan ‘drumachines’, Ultras Tranung menyasarkan 2,000 penyokong Terengganu Football Club (TFC) bersama-sama mereka menyanyi ‘chants’ bersama-sama dan menggegarkan suasana final antara TFC dan Perak nanti.

Barisan hadapan Ultras Tranung, Mohd Arif berkata, segala persiapan rapi telah dibuat dan mengharapkan penyokong Terengganu turut menyanyi bersama mereka bagi menaikkan semangat pemain dan seluruh pasukan TFC.

10 drum khas akan turut dibawa bagi mengiringi nyanyian Ultras Tranung
“Sebenarnya kami sudah mempersiapkan pelbagai promosi di media sosial sebaik sahaja TFC layak ke final. Ini termasuklah video nyanyian, poster dan latihan bagi menarik lebih ramai penyokong untuk bersama-sama kami.

“Sasaran kita antara 1,000 ke 2,000 orang untuk bersama sepanjang perlawanan berlangsung dan memberikan sorakan kepada pasukan kesayangan kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Ultras Tranung juga telah menyediakan tifo merangkumi empat sepanduk gergasi, sepanduk, bendera-bendera panji dan kelengkapan lain.

Jelas Arif, bagi penyokong yang ingin menyertai Ultras Tranung nanti, mereka digalakkan berbaju hitam, memakai kasut, membawa bendera, membawa skaf mafla dan mematuhi arahan capo sepanjang ‘chants’ nanti.

Bagi memastikan kelancaran dan keseragaman aksi ‘chants’, 20 curva crew akan turut membimbing mereka, di samping capo yang mengetuainya.

Ultras Tranung akan menggamatkan lagi kemeriahan aksi final antara TFC dan Perak esok.
“Inilah masanya penyokong Terengganu menunjukkan kesetiaan mereka kepada pasukan TFC. Kita harapkan dengan adanya sorakan dan nyanyian daripada penyokong, pemain akan terus kekal bersemangat dalam aksi di padang.

“Sebagai peminat juga, sudah tentu kami mengharapkan kemenangan buat TFC dan seterusnya menggenggam kembali Piala Malaysia setelah kali terakhir kita merangkulnya pada 2001,” katanya.

Bekas kapten Penyu kongsi petua

KUALA TERENGGANU: 17 tahun lalu, kapten skuad ’emas’ Terengganu, Rosdi Talib adalah antara insan paling gembira apabila membantu pasukannya menjulang trofi Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah selepas 80 tahun mencuba.

Bekas kapten kebangsaan itu yang dilabel persis legenda Brazil, Roberto Carlos kerana keupayaan kental bertahan dan pakar sepakan percuma juga menjadi pembakar semangat rakan sepasukannya bangkit daripada ketinggalan sebelum merekod kemenangan 2-1 dalam aksi final edisi ke-74 itu.

Malah, lebih menceriakan pemain pertahanan itu apabila berjaya menghasilkan jaringan pertama sebelum penyerang, Sapian Wahid meledak jaringan kemenangan 2-1 sekali gus memahat sejarah dalam kamus bola sepak Terengganu.

“Tetapi sebelum bergelar juara, kami berusaha keras terutama ketika latihan, selain sudah bersedia jiwa dan raga dengan memasang impian menggunung untuk membuktikan pemain skuad Terengganu juga hebat dan mampu menjulang trofi.

“Justeru, sebagai bekas pemain yang pernah merasai nikmat kejuaraan piala berprestij itu, saya ingin berkongsi rahsia dan petua kepada pemain TFC sekiranya berhajat untuk muncul sebagai juara.

“Pesanan pertama saya pemain harus beraksi sebagai satu pasukan dan perlu memberi komitmen 100 peratus di dalam padang kerana hanya mereka boleh mengubah keputusan pasukan, bukannya jurulatih.

“Selain itu, mental dan fizikal pemain perlu kuat dan ketepikan sebarang ejekan dan provokasi daripada penyokong lawan kerana ia mampu ‘membunuh’ semangat mereka jika dilayan,” katanya.

Rosdi turut mengingatkan pemain supaya tidak melakukan kesilapan dan mengambil mudah keupayaan skuad lawan yang mampu menjerat diri sendiri jika leka.

“Akhir sekali, pemain harus beraksi cemerlang hingga wisel penamat biarpun ketinggalan kerana itu kunci kejayaan, selain disiplin diri dan pasukan perlu mantap,” kata Rosdi yang kini membuka warung di Kuala Terengganu.

5 Kelab Asia Paling Banyak Pengikut Di Media Sosial

Media sosial merupakan antara perkara asas kepada umat manusia di zaman serba moden ini. Ada yang menggunakannya sebagai platform perniagaan dan ada juga yang menggunakannya untuk mendapatkan maklumat.

Dalam dunia bola sepak pula, media sosial digunakan sebagai alat untuk menyampaikan berita mengenai pasukan seperti contoh kenyataan dari pengurus, keadaan semasa pemain dan juga maklumat semasa mengenai pasukan. Yang guna untuk “banter” dan “menunjuk” pun ada.

Memetik daripada laporan Foxsport Asia, mereka telah menyenaraikan 5 kelab di rantau Asia yang mempunyai pengikut paling banyak di tiga platform media sosial iaitu Twitter, Facebook dan Instagram.

1. Persib Bandung (15.4 juta pengikut, Indonesia) 

Sumber Gambar: Tribun Jabar

Pasukan yang dibimbing oleh bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim, Mario Gomes ini menduduki tangga pertama dimana mereka memiliki seramai 15.4 juta pengikut.

2. Al-Hilal (11.3 Juta pengikut, Arab Saudi)

Sumber Gambar: Arab News

Kelab yang berpangkalan di Riyadh ini merupakan juara dua kali AFC Champions League dan menduduki tempat kedua dibelakang Persib dalam senarai ini. Selain itu, Al-Hilal juga pernah diiktiraf sebagai kelab Asia terbaik di abad ke-20 oleh FIFA.

3. Al-Ittihad (4.6 Juta oengikut, Arab Saudi)

Sumber Gambar: Indosport

Seteru utama kepada Al-Hilal ini menduduki tangga ketiga denga mempunyai seramai 4.6 juta pengikut. Pasukan yang berpangkalan di Jeddah ini menjadi kelab kedua paling berjaya dalam saingan Liga Arab Saudi.

4. Persija Jakarta (4.2 Juta pengikut, Indonesia)

Sumber Gambar: iNews.id

Seteru utama kepada Persib Bandung ini merupakan kelab paling berjaya dalam sejarah Liga Indonesia dengan memenangi 10 kejuaraan Liga. Meskipun sudah lama tidak mengecapi kejuaraan Liga, namun kelab yang mendapat sokongan dari The Jakmania ini masih lagi antara kuasa besar di Liga Indonesia.

5. Kerala Blasters (3.6 Juta pengikut, India)

Photo by Deepak Malik / Sportzpics for ISL

Kelab yang pernah diwakili oleh David James dan Dimitar Berbatov ini menduduki tangga kelima. Meskipun tidak pernah memenangi kejuaraan Liga, namun Kerala kekal sebagai Top 5 dalam senarai kelab Asia paling banyak pengikut di dunia maya.

sumber:- Penulis InikanBola

Itulah dia senarai 5 kelab di rantau Asia yang mempunyai pengikut paling ramai di media sosial ketika ini. Jika kelab dari saingan Liga Malaysia pula, Johor Darul Ta’zim mempunyai pengikut terbanyak iaitu seramai 2.7 Juta pengikut.

Kempen skuad B-19 berakhir

KUALA LUMPUR: Skuad muda negara terpaksa ‘pulang awal’ selepas tewas 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan D Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Stadium Pakansari, Bogor, sebentar tadi.

Ketika Arab Saudi sudahpun memberi ‘bantuan’ dengan menewaskan Tajikistan 3-1, peluang ini disia-siakan anak buah Bojan Hodak apabila mereka membenarkan China yang sebelum ini gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi terdahulu membolosi gawang skuad negara sebanyak dua kali.

Situasi ini menyaksikan skuad B-19 menghuni tangga tercorot Kumpulan D dengan satu mata, mengulangi nasib sama dengan skuad ‘adik’ yang turut menghuni tangga tercorot pada aksi Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) AFC 2018, bulan lalu.

Bagaimanapun kemenangan tetap tidak dapat membawa skuad negara mara ke suku akhir kerana jumlah perbezaan gol dengan Tajikistan yang mengesahkan tempat kedua walaupun tewas di tangan Arab Saudi.

Malaysia yang menguasai babak awal permainan, sukar menembusi pertahanan China. Memasuki pertengahan babak pertama, China mula mendapat rentak dan Malaysia bernasib baik selepas beberapa hantaran yang dilakukan ke dalam kotak penalti digagalkan penyudah kurang kemas jentera serangan lawan.

Gawang Malaysia akhirnya dibolosi pada minit ke-44 menerusi penyudah Tao Qianglong untuk gol pertama China selepas tiga perlawanan.

sumber: HM

Bersambung babak kedua, gerakan menyerang Malaysia kerap dipatahkan anak buah Cheng Yaodong itu dan kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk China menambah gol pada minit ke-58 menerusi rembatan jarak jauh Yang Yilin untuk menewaskan Mohd Azri buat kali kedua.

Tamat saingan peringkat Kumpulan D, Arab Saudi merakam rekod bersih menang ketiga-tiga perlawanan untuk mengutip sembilan mata sementara Tajikistan di tempat kedua dengan empat mata.

Aksi suku akhir menyaksikan Arab Saudi bertemu Australia sementara Tajikistan berdepan Korea Selatan.

Najib minta maaf gagal kawal emosi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memohon maaf kerana gagal mengawal emosinya semasa diwawancara Al-Jazeera, pagi tadi.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sedang memikirkan keadaan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anaknya, Norashman dan Riza Aziz yang disoal siasat polis pada waktu yang sama.

Menurutnya, meskipun wawancara itu melangkaui jadual dan skop dipersetujui namun Najib menegaskan beliau gembira menjawa soalan-soalan tambahan yang diajukan.

“Ya, ada sesi wawancara bersama Al-Jazeera pagi ini bermula jam 10.30 pagi, waktu sama isteri, anak dan anak tiri saya disoal siasat polis,” katanya.

Menurut laporan portal itu lagi Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pengacara rancangan tersebut, Mary Ann Jolley bertegas membangkitkan perkara yang sudah beliau nafikan berulang kali sebelum ini.

“Topik yang saya telah nafikan penglibatan saya berulang kali sepanjang dekad lalu, satu pembunuhan yang telah melalui banyak pendengaran mahkamah.

“Dua minggu lalu, saya telah minta pembantu saya untuk membuat laporan kepada polis agar menyiasatnya semula untuk membersihkan nama saya.

“Saya harap Al-Jazeera mengambil kira perkara ini dan tidak lagi melibatkan nama saya terhadap kehilangan tragik seorang ibu muda.

“Tidak benar sama sekali saya terlibat walaupun dengan segala propaganda bermotifkan politik yang mengaitkan saya,”jelasnya.

Tambah Najib, kebimbangan memikirkan nasib keluarganya ditambah pula dengan soalan berkaitan topik berkenaan menyebabkan beliau gagal mengawal perasaan untuk seketika.

Begitupun, Najib berkata beliau tetap yakin dirinya telah berjaya menyatakan pandangan dan menyifatkannya sebagai satu sesi wawancara yang baik.

“Walaupun beberapa kali Mary Ann mengulang soalan terhadap saya walaupun saya telah memberi jawapan sebelum itu, secara keseluruhan saya percaya telah berjaya menyatakan pandangan sebenar mungkin.

“Saya anggap ia satu wawancara yang baik yang boleh membantu dunia untuk lebih memahami isu 1MDB daripada perspektif saya dan untuk membersihkan nama saya.

sumber: SH

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Al Jazeera untuk wawancara itu dan meminta maaf jika saya gagal kawal perasaan,” katanya.

Malah, beliau juga mengatakan kesediannya untuk diwawancara sekali lagi jika Al-Jazeera berminat untuk menemui beliau.

“Saya tidak akan ragu-ragu untuk bersetuju jika mereka ingin mewawancara saya lagi,” katanya.

Ahmad Said ‘belasah’ PBSNT

KUALA TERENGGANU: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Said mengecam cara persatuan itu menguruskan jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 antara Terengganu dan Perak.

Beliau berkata, kemungkinan ada pihak dipertanggungjawabkan menguruskan hal itu menggunakan orang tengah yang membeli secara pukal sebelum menjual tiket di pasaran gelap untuk mendapat untung berlipat ganda.

“Cara persatuan (PBSNT) menjual tiket, saya syak pihak yang menguruskannya menggunakan cara tidak betul.

“Sebab, kalau ada lebih kurang 30,000 tiket, bukan satu dua jam sudah habis tiket. Mungkin yang menjual guna orang lain iaitu orang tengah yang beli banyak dan jual untuk dapat habuan,” katanya.

sumber: BH

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari santai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Badan Perhubungan UMNO Terengganu serta bekas pemimpin UMNO Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar turut menempelak tindakan PBSNT yang hanya membuka satu kaunter jualan dan menjual hanya 2,000 tiket di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong memandangkan persatuan mendapat peruntukan 30,000 tiket.

“Orang beribu-ribu, satu kaunter saja dibuka… takkan tak boleh fikir dah berpuluh tahun pengalaman.

“Bukalah 10 kaunter dan boleh buka satu saluran untuk wanita saja. Saya perhatikan benda ini,” katanya.

KAFA lantik Naib Presiden baharu

KOTA BHARU 25 Okt. – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkuatkuasa hari ini.

Perlantikan Takiyuddin itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Bibi Ramjani, pelantikan itu dibuat selepas beliau mendapat mandat daripada exco Kafa dan Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ).

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan pengalaman luas Takiyuddin dalam sukan bola sepak.

“Kita harap kehadiran beliau dapat membantu Kafa menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Bagaimanapun, Kafa masih mempunyai satu lagi kekosongan untuk jawatan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

‘Messi Ganu’ sering diejek

KUALA TERENGGANU: Perancang bertubuh kecil Terenggan, Mohd Faiz Mohd Nasir atau lebih dikenali ‘Messi Ganu’ sedia menawan Stadium Shah Alam Sabtu ini pada aksi final Piala Malaysia bertemu Perak.

Pemain yang hanya berketinggian1.56 meter itu sudah membuktikan faktor saiz badan bukan halangan buat dirinya untuk menguasai jentera tengah biarpun sering kali menjadi ‘mangsa’ pasukan lawan.

Malah pemain berusia 26 tahun itu juga sering kali diejek penyokong lawan kerana faktor fizikalnya, tetapi ia lebih menguatkan mentalnya untuk mempamerkan aksi terbaik setiap kali diturunkan.

“Ini final pertama saya dalam piala berprestij ini, sebelum ini hanya muncul juara Piala Presiden,” kata Faiz yang beraksi cemerlang ketika menyingkirkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir Sabtu lalu.

“Jika jurulatih sekali lagi memberi tugas sebagai perancang, sudah pasti saya mahu lakar sejarah peribadi dan pasukan, tapi kerja ini bukan mudah namun tidak sukar sekiranya rakan sepasukan saling membantu.”

Faiz yang membentuk gandingan mantap bersama bintang import England, Lee Tuck adalah nadi jentera tengah skuad Penyu musim ini.

Bercakap mengenai aksi final, pemain berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu mahu menamatkan penantian 17 tahun skuad Penyu untuk muncul juara piala berprestij itu dalam tempoh 90 minit.

“Jika boleh kami tidak mahu kemenangan nanti ditentukan melalui sepakan penalti kerana sedar peluang itu 50-50, oleh sebab itu saya mahu menamatkan penantian itu dalam masa sebenar,” katanya

VIDEO – Nampak macam patah… pemain Tajikistan mengaku kecederaan sebahagian daripada bola sepak

PETALING JAYA: Pemain Bawah 19 Tahun (B-19) Tajikistan Ziyovuddin Fuzaylov bernasib baik kerana kakinya hanya terkehel ketika aksi ngeri yang menyebabkan dirinya ditimpa kecederaan.

Kaki kanan Ziyovuddin kelihatan seperti patah selepas diterjah pemain pertahanan negara Nabil Hakim ketika perlawanan Kumpulan D Piala AFC B-19 di Bekasi pada Selasa malam.

Pengurus skuad B-19 kebangsaan Datuk Ab Ghani Hassan yang juga merupakan Naib Presiden FAM bersama dengan penolong ketua jurulatih Hairuddin Omar sempat meluangkan masa melawat pemain muda Tajiskistan itu di Hospital RSIA Hermina, Bekasi pada Rabu.

Menurut Hairuddin, lawatan ke hospital itu bagi menunjukkan rasa simpati ke atas nasib pemain tersebut.

“Kami mewakili FAM melawat Ziyovuddin, sebagai ingatan dan kita semua adalah sebuah keluarga besar bola sepak.

“Syukur tidak ada yang serius. Pemain itu sendiri cakap kecederaan adalah sebahagian daripada bola sepak,” ujarnya kepada mStar Online.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia berjaya meraih seri 2-2 selepas tewas 2-1 pada aksi pertama bertemu Arab Saudi.

Skuad kendalian Bojan Hodak itu akan berdepan dengan pesaing sukar, China pada 26 Oktober ini sekali gus menjadi perlawanan penentu untuk mara ke peringkat seterusnya.

patah kaki

Pemain Tajikistan Patah Kaki | Malaysia vs Tajikistan

Posted by Setia Viral TV on Tuesday, 23 October 2018

 

MAT REMPIT TERKEJUT APABILA MENGETAHUI IDENTITI AWEK BARUNYA INI. KORANG JANGAN TERKEJUT

Saya dah tiga kali keluar dengan dia bang,” keluh seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dengan wajah merah padam menahan malu. Remaja 19 tahun itu ditahan dalam satu operasi membanteras samseng jalanan di Stulang Laut, Johor Bahru awal pagi tadi.

Kira-kira jam 3 pagi tadi, remaja bermotosikal itu didapati tidak memiliki lesen memandu dan ketika ditahan didapati seorang remaja perempuan lengkap bertudung membonceng bersamanya.

Selepas dibawa ke Cawangan Trafik Ibupejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, remaja perempuan berkali-kali disoal anggota trafik akan nama serta dminta ditunjukkan kad pengenalannya untuk diperiksa. “Adik, nama siapa? Cuba cakap nama. Keluarkan kad pengenalan,” pinta seorang anggota polis trafik kepada remaja perempuan itu namun gadis itu hanya menundukkan wajahnya, diam seribu bahasa.

Putus asa dengan tindakan gadis itu mendiamkan diri, anggota polis itu beredar dan seorang lagi anggota menghampirinya bagi mendapatkan kad pengenalan gadis itu. Dia terus berdiam. Langsung tidak diangkatnya wajahnya. Tudung dipakai kemas bersama blouse berlengan pendek dipadankan dengan skirt panjang. Manis gadis ini kata aku.

Pada pandangan mata kasar, gadis ini dalam lingkungan belasan tahun. Mungkin 18 tahun. Aku cuba meneka. Aku juga cuba bertanya dengan gadis ini, langsung tidak diendahkan. Sepatah pun tidak terkeluar dari mulutnya.

Dia hanya tertunduk dan ternampak bulu matanya yang panjang. Mesti minat Che Ta ni, detik hati aku.

Sejam kemudian, seorang lelaki berusia lingkungan 40an tiba di perkarangan cawangan trafik IPD Johor Bahru Selatan ini. Aku terlihat dia menghampiri seorang anggota Rela. “Anak aku kena tahanlah,” katanya kepada anggota Rela itu.

Difahamkan, anggota Rela itu berjiran dengan lelaki itu. “Mana ada anak kau. Bukan aku tak kenal semua anak kau. Mana ada. Kalau dia kena tahan mesti aku tahu,” sambut anggota Rela itu.

Aku terus beredar kerana ia satu pandangan biasa setiap kali operasi terhadap mat rempit dilakukan. Mulalah balai trafik dikerumuni ibubapa mencari anak-anak mereka. Tak lama kemudian, terdengar jeritan suara lelaki seperti dalam kemarahan.

“Apa kau nak jadik ni? Bukak semua ni. Bukak. Kalau tahu mak kau, nahas kau. Bukak!” terdengar jeritan seorang lelaki.

Bila dijenguk, rupa-rupanya lelaki tadi yang datang ke balai mencari anaknya sedang merentap tudung seorang gadis. Aku lihat semua mata tertumpu kepadanya.

Bila didekati, rupanya lelaki itu sudah menemui anaknya. Tetapi anaknya adalah lelaki. Yang ditemui, anaknya berpakaian seperti wanita. Siap bertudung. “Umur dia 17 tahun, dah berhenti sekolah, kerja kat car wash,” jelas lelaki itu.

Sebaik ditarik tudung anaknya itu, kelihatan anak tudung hitam. “Ini anak tudung mak kau. Nahas kau kalau mak kau tahu ni,” terdengar jelas kekecewaan si bapa itu.

Semua yang berada di perkarangan balai itu terutama penunggang motosikal yang sudah ditahan ternganga seketika menonton drama kehidupan ini.

Seketika kemudian ada yang tak dapat menahan ketawa namun ditegur anggota sukarelawan polis. “Dia ni encik, sejak dua tiga bulan lepas ni, asyik bercampur dengan pondan. Dulu tak macam ni. Saya pun tak tahu kenapa jadi macam ni. Ini tudung mak dia,” kata bapa remaja ini.

Remaja yang menunggang motosikal bersama budak ini dipanggil. Merah padam mukanya. Terbeliak matanya seperti baru melihat hantu. Tak lekang matanya ke arah remaja yang dibawanya sebelum ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis trafik.

Tak tahu pandangannya itu geram marah atau geram sebab sudah dibuka ‘aurat’ ‘aweknya’ itu. Tak tahulah. “Saya tak tahu dia lelaki kak, dah tiga kali saya keluar dengan dia,” keluh remaja itu kepada seorang anggota sukarelawan polis wanita.

“Takkanlah awak tak tahu sebab dia kan naik motor dengan awak,” tanya seorang anggota polis. Terdiam si remaja itu.

Dilihat pada ‘gadis’ itu, mungkin dia memperdaya ‘teman lelakinya’ kerana ternampak tali bra tersingkap sedikit di bahu ‘gadis’ itu. Mungkin ketika remaja lelaki itu membrek, terasalah pakaian dalam ‘teman wanitanya’ itu.

Mungkinlah. “Patutlah bila saya telefon dia, suara dia berbisik macam cakap dalam kelambu,” kata si remaja lelaki yang sudah ditipu bulat-bulat ‘gadis’ yang diminatinya. Lain tonasi dia. Bunyi macam kecewa ada, bunyi macam marah pun ada. Perasaan dia mungkin keliru masa tu.

‘Gadis’ ini bagaimanapun tidak terus ditahan dan dibenarkan pulang bersama bapanya. Semua yang berada di balai menghantar keduanya dengan pandangan. Bukan untuk melihat sama ada ‘gadis’ itu melenggok. Tidak. Semua masih kehairanan.
Manakala si lelaki yang membawa keluar ‘gadis’ ini terus dikerumuni penunggang motosikal lain yang turut ditahan. Ada yang agak berani sikit, ketawa terbahak bahak. Nasib baik si lelaki tu masih cool.

Apapun, bagaimanalah agaknya tidur dia selepas ini. Bagaimana agaknya cara dia melihat wanita selepas ini. Macam manalah agaknya si remaja lelaki tu nak berdepan dengan kawan-kawannya selepas ini.

“Bro, awek kau bertudung itu hari mana?”
Apa agaknya jawapan brader kita tu nanti. Kesian dia. Kita doakan dia mendapat jodoh dengan wanita sejati, segera.

KREDIT HAZREY.COM., redempire03