Pahang Kehilangan Forkey Doe

Suka dalam duka, Pahang terpaksa membayar harga mahal di atas kejayaan layak ke suku akhir Piala FA dengan menewaskan Kedah 1-0, apabila penyerang berbisa, Francis Forkey Doe, mengalami kecederaan serius yang mungkin memaksanya berehat panjang.

“Doktor akan membuat penilaian terhadap kecederaan dan kecederaannya itu dilihat agak serius,” kata ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh.

Insiden pada minit kelapan menjadi punca Forkey Doe terpaksa dikeluarkan, sekali gus membuatkan jentera serangan Pahang tampak sedikit tumpul.

Bukan sahaja Forkey Doe, malah Dollah sebenarnya resah sepanjang perlawanan kerana beberapa pemain importnya yang lain turut bermain dalam kesakitan.

“Patrick Cruz turut beraksi dengan kecederaan dalam perlawanan ini. Tetapi disiplin pemain memastikan kemenangan berjaya diraih,” tambahnya.

Penjaring gol kemenangan Pahang, Mohamadou Sumareh, pula menyifatkan keberangkatan Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah serta 25,000 penyokong setia Tok Gajah sebagai sumber inspirasi pasukan.

“Kami menghadapi perlawanan ini dengan mentaliti untuk meraih kemenangan. Beraksi di laman sendiri, kehadiran Sultan Pahang serta penyokong yang membanjiri stadium memberikan semangat kepada kami,” kata Sumareh.

sumber:- stadium astro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *