pemain muda yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT)

KUALA LUMPUR: Momokan bahawa pemain muda yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal sekadar menjadi pemanas bangku simpanan perlu disambut dengan tindak balas positif jika mereka mahu berjaya.

Malah penyerang kebangsaan, Hazwan Bakri berkata, tanggapan negatif itu yang dianggap ‘badi’ sepatutnya ditukarkan menjadi azimat.

“Sebenarnya terpulang kepada setiap pemain bagaimana mereka menangani isu berkenaan. Jika mereka terikut-ikut dengan tanggapan negatif itu sudah tentu hasilnya kelak juga negatif.

“Tapi, jika kami sebagai pemain sentiasa berfikiran positif dengan menerima kata-kata itu sebagai cabaran, saya yakin kami boleh berjaya.

“Saya sendiri menerima reaksi yang serupa daripada banyak pihak apabila menyatakan pendirian untuk menyertai JDT pada musim ini.

“Begitu pun, saya tidak pernah termakan dengan kata-kata itu sebaliknya mencabar diri sendiri untuk membuktikan kemampuan. Saya sentiasa yakin apa pun berlaku kepada saya, pokok pangkalnya terletak kepada diri sendiri,” ujar Hazwan.

HAZWAN Bakri (kanan) sentiasa mencabar diri sendiri untuk membuktikan kemampuan. – Foto Shahril Badri Saali

Setakat ini, dua pemain skuad Bawah 23 tahun negara, Adam Nor Azlin (Selangor) dan Syamel Kutty Abba (Pulau Pinang) menyertai pasukan itu sambil dua lagi penyerang muda, Syafiq Ahmad (Kedah) dan Syahrel Fikri Md Fauzi (PKNP) dijangka menyusul.

Hazwan, bekas pemain Kuala Lumpur dan Selangor mengakui saingan di JDT terlalu sengit berbanding pasukan lain namun menganggap suasana sebegitu bagus untuk meningkatkan prestasi.

“Memang di JDT pemain perlu menggandakan usaha untuk merebut tempat kerana ia dibarisi oleh pemain berkualiti. Tapi, hakikatnya, jika mahu berjaya, kita memang perlu bersaing dengan orang yang bagus.

“Saya sendiri sentiasa bekerja keras dengan melakukan latihan tambahan. Selain itu, saya selalu berbincang dengan jurulatih bagaimana cara untuk meningkatkan lagi permainan saya,” kata penyerang kelahiran Labuan itu.

SAINGAN di JDT terlalu sengit dan pemain perlu menggandakan usaha untuk merebut tempat kerana ia dibarisi oleh pemain berkualiti. – Foto Mohd Azren Jamaludin

Hazwan membuktikan penyerang tempatan mampu menyaingi pemain import apabila mendapat kepercayaan jurulatih JDT, Ulisses Morais untuk diturunkan dalam kesebelasan utama ketika final Piala Malaysia menentang Kedah, awal bulan lalu.

Ia sekali gus memaksa penjaring terbanyak Liga Super, Mohamed Ghaddar sekadar memanaskan bangku simpanan sepanjang perlawanan itu.

Namun, Hazwan tidak mahu berasa selesa dengan kedudukannya sekarang sebaliknya sedar perlu terus bekerja keras untuk menyaingi rakan sepasukan terutama pemain import yang sentiasa mendominasi posisi serangan JDT.

sumber: BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *