Pemain Wajib Ada Sijil Atau Diploma Jika Mahu Sertai

Ketika pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M) bertungkus-lumus cuba mendapatkan pemain terbaik, UiTM FC ternyata mengambil pendekatan berbeza.

Mereka mewajibkan pemain tempatan atau import baharu pasukan itu perlu ada sekurang-kurangnya sijil atau diploma dalam pelbagai bidang.

Sebagai kelab daripada institusi pengajian tinggi (IPT), mereka juga mewajibkan muka baharu tempatan untuk musim depan menyambung pelajaran di universiti tersebut jika mahu beraksi dengan UiTM FC.

Jurulatihnya, Wan Mustaffa Wan Ismail bercakap kepada Stadium Astro, semua pemain professional tempatan yang beraksi dengan pasukan UiTM FC ialah mereka yang bergelar mahasiswa.

“Kami menyediakan kursus khas dalam jurusan sains sukan dan pengurusan dalam bola sepak. Malah, pemain import juga tidak terkecuali apabila akan terlibat dengan pusat bahasa. Mungkin mereka boleh berkongsi kepakaran bahasa ibunda mereka, antaranya bahasa Perancis,” kata Wan Mustaffa.

Gambar : UiTM FC

Musim depan, hanya Dechi Marcel N’Guessan dikekalkan sebagai tonggak import selepas melepaskan Akanni Sunday Wasiu dan Do Dong-hyun ke pasukan lain manakala Onorionde Kughegbe digugurkan.

“Kami mengekalkan Marcel sebagai tonggak tengah dan sedang berunding untuk mendapatkan seorang pemain pertahanan dari Cameroon.

“Paling penting, kami perlu mencari pengganti Dong-hyun dan Akanni Sunday yang menyumbang 30 gol musim lalu,” katanya.

UiTM FC berlepas ke China, Ahad lalu untuk menyertai Terbuka Yunnan sebagai persediaan musim baru nanti.

sumber: stadium astro / semuanyabola.com

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *