Penjawat Awam Johor Bakal Terima Lebih RM1,500

ISKANDAR PUTERI: Penjawat awam kerajaan negeri bakal menerima bayaran khas lebih RM1,500 sebagai bonus dalam Bajet Johor 2018.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, kerajaan negeri bersetuju membayar lebih daripada bayaran khas yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam kerajaan pusat.

Katanya, jumlah sebenar bayaran khas oleh kerajaan negeri itu akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam pembentangan Bajet Johor 2018 di Dewan Negeri pada 23 November ini.

 

“Kerajaan negeri bersetuju lebih dari itu (jumlah bayaran khas RM1,500) dan tunggu Bajet (pembentangan Bajet Johor 2018) pada 23 November ini.

“Ia adalah lebih baik daripada apa dinyatakan tadi (diumumkan pada Bajet 2018),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Ketua Setiausaha Negara bersama-sama kira-kira 2,700 penjawat awam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, Ahad.

Program itu turut disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Azmi berkata, ketika ini terdapat seramai 16,612 penjawat awam negeri dan 121,335 penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Johor.

Pada 27 Oktober lalu, Najib mengumumkan bayaran khas berjumlah RM1,500 kepada penjawat awam iaitu bayaran RM1,000 pada awal Januari depan, dan RM500 lagi menjelang sambutan Aidilfitri.

Manakala pesara kerajaan bakal menerima bayaran khas sebanyak RM750, iaitu RM500 ringgit dibayar pada Januari 2018, dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri.

– Sinar Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *