Rebut slot 11 terbaik….

PEMAIN berpengalaman, Joseph Kalang Tie akui perlu tampil dengan persembahan lebih meyakinkan bersama pasukan baharu iaitu Selangor musim depan.

Dengan misi menempatkan diri dalam kesebelasan utama skuad The Red Giants musim 2018, pemain kelahiran Miri, Sarawak itu mahu membuktikannya kehadirannya memberi impak positif buat pasukan.

Katanya, segala pengalaman dimiliki serta kerjasama daripada rakan sepasukan diyakini dapat membantu Selangor meraih kejayaan yang gemilang musim depan.

“Matlamat saya adalah untuk merebut tempat selaku pemain utama. Tapi, pada masa sama, saya akan buktikan kepada jurulatih (P Maniam) dari segi komitmen dan peningkatan prestasi sepanjang sesi latihan.

“Sebagai pemain, sudah pasti ingin menjadi antara 11 pemain utama dan bagi membuktikannya, saya perlu tingkatkan lagi kualiti dalam corak permainan.

“Pengalaman yang dimiliki bersama beberapa pasukan sebelum ini memberi lebih inspirasi terbaik dalam meraih kejayaan,” katanya.

Joseph berkata, setakat ini, dia gembira bersama rakan sepasukan walaupun masih lagi baharu menjalani latihan pada 4 Disember lalu.

Katanya, dengan dibarisi pemain berpengalaman serta gabungan pemain muda diharap mampu memperkasakan The Red Giants sebagai pasukan yang serba mantap.

“Tiada yang lebih menggembirakan apabila ditawar untuk menjadi sebahagian daripada perancangan pasukan dan kepercayaan ini akan dibalas dengan memberi sepenuh komitmen.

“Paling utama adalah untuk pastikan Selangor memberi tentangan sengit kepada lawan musim depan sekali gus mengulangi prestasi gemilang yang pernah diraih sebelum ini,” katanya.

Musim ini, pemain berumur 30 tahun itu menyarung jersi Pahang tetapi kontrak pemain tengah itu tidak sambung bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

sumber: HM

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *