‘Rezeki Liga Super’ PKNP dan NS

DUA pasukan Liga Perdana, PKNP FC dan Negeri Sembilan menjadi pasukan paling beruntung selepas beroleh ‘tiket percuma’ untuk beraksi di Liga Super musim hadapan.

Walaupun gagal menamatkan saingan Liga Perdana sebagai dua pasukan terbaik musim ini, namun kekosongan yang ditinggalkan FELDA United dan T-Team menyaksikan dua pasukan itu mengisi dua slot terbabit sekali gus melengkapkan 12 pasukan Liga Super untuk musim 2018.

Perkembangan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam yang menjelaskan, dua pasukan terbabit adalah pasukan paling layak untuk mengisi dua kekosongan terbabit selepas FELDA United disingkirkan dari Liga Super, manakala T-Team memilih untuk beraksi di Liga Perdana.

“Kita sudah menghantar surat kepada dua pasukan ini dan menunggu maklum balas secara rasmi mengenai perkara ini. Bagaimanapun, kami sudah menerima maklum balas tidak rasmi mereka bersedia untuk ke Liga Super.

“Jadi, saya melihat dua pasukan ini memiliki tempoh yang mencukupi untuk membuat persiapan bagi mengharungi saingan Liga Super musim hadapan,” katanya pada sidang media di pejabat FMLLP, hari ini.

PASUKAN Negeri Sembilan peroleh tiket percuma ke Liga Super.

Dalam masa sama, Kevin turut menegaskan perlawanan playoff’ bukanlah jalan terbaik untuk menentukan dua pasukan yang akan mengisi slot ke Liga Super itu.

“Kita tidak boleh mengadakan playoff’ membabitkan dua pasukan tercorot Liga Super iaitu Sarawak dan Pulau Pinang untuk menentang PKNP FC dan Negeri Sembilan, kerana Sarawak tidak memiliki lesen Liga Super.

“Malah, Sarawak dan Pulau Pinang juga tidak berjaya memenuhi merit sukan, mereka gagal mendapatkan mata yang mencukupi untuk terlepas daripada penyingkiran.

“Untuk itu, selepas kami mengambil kira merit sukan dan pelesenan kelab, kami memutuskan untuk memberi peluang kepada PKNP FC serta Negeri Sembilan itu beraksi di Liga Super,” katanya.

Berdasarkan rekod, Negeri Sembilan kembali mewarnai kancah utama bola sepak negara selepas tersingkir ke divisyen dua itu pada 2014, manakala PKNP FC bakal menyertai Liga Super buat kali pertama pada musim hadapan.

kredit:- HM

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *