Statistik Serangan Siapa Yang Lebih Berkesan

Pasukan Johor Darul Ta’zim akan menentang Pahang dalam perlawanan suku akhir yang pertama Piala FA 2018. Kedua-dua pasukan juga bertemu di peringkat yang sama pada edisi musim lalu. Dalam perlawanan ini, kami tertarik untuk membincangkan tentang barisan serangan mana yang lebih berkesan.

Kedua-dua pasukan mempunyai barisan serangan terbaik dalam negara ketika ini. Dalam perlawanan Jumaat ini, kami menjangkakan serangan JDT akan diisi oleh Gonzalo Cabrera, Hazwan Bakri dan Safawi Rasid. Manakala bagi pasukan Pahang pula, Patrick Cruz akan dibantu oleh Mohamadou Sumareh dan Chan Vathanaka.

Dalam 5 perlawanan terakhir termasuk perlawanan saingan Piala AFC, barisan serangan JDT telah berjaya menjaringkan 7 gol. Safawi Rasid menjadi penjaring terbanyak dengan 4 gol dalam 5 perlawanan tersebut. Satu pencapaian yang baik bagi pemain muda ini. Manakala tiga lagi gol dijaringkan oleh Hazwan Bakri, Luciano Figueroa dan Gonzalo Cabrera.

Bagi jentera serangan pasukan Pahang pula, mereka berjaya menjaringkan 13 gol dalam 5 perlawanan terakhir. Francis Forkey Doe menjadi penjaring terbanyak dengan 5 gol. Tetapi, Pahang harus melupakan khidmat beliau kerana kecederaan serius yang memaksa Forkey Doe berehat selama setahun. Jadi, Pahang akan bergantung kepada partner in crime Forkey Doe iaitu Patrick Cruz yang berjaya menjaringkan 3 gol dalam 5 perlawanan terakhir.

Jika kita melihat kepada jumlah jaringan kedua-dua pasukan dalam 5 perlawanan terakhir, barisan serangan Pahang nyata lebih tajam berbanding JDT. Namun, harus diingat ini perlawanan kedua-dua pasukan ini sering diwarnai dengan pelbagai kejutan dan juga drama.

Seperti perlawanan pada musim lalu, ramai yang menjangkakan JDT mampu untuk menewaskan Pahang. Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila barisan Pahang dilihat lebih ampuh dan berkesan berbanding JDT. Jadi sukar untuk kita menentukan hasil perlawanan berdasarkan jumlah jaringan yang dimiliki.

Apa yang pasti, perlawannan ini akan menyajikan satu persembahan dan juga gaya permainan yang menarik. Pertembungan taktikal antara Raul Longhi menentang Dollah Salleh sudah pasti ditunggu-tunggu oleh peminat kedua-dua pasukan.

sumber:- penulis InikanBola

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *