Sultan Johor kurniakan 60 hektar tanah untuk rakyat

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan tanah seluas 60 hektar untuk mendirikan 1000 unit rumah mampu milik di negeri ini.

Khabar gembira itu disampaikan anakandanya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook rasminya, sebentar tadi.

“Minggu depan, saya akan melancarkan satu upacara pecah tanah milik Sultan Johor, ia selepas baginda berkenaan mengurniakan tanah untuk membina rumah mampu milik dengan harga bermula RM70,000.

“Kawasan tersebut akan dilengkapi dengan semua kemudahan asas demi keselesaan rakyat,” katanya.

Tunku Ismail berkata, sumbangan tersebut direalisasikan setelah dirinya sendiri turun padang dan mendengar sendiri rintihan rakyat menerusi beberapa lawatan yang dilakukan.

Katanya, sumbangan diberikan kepada rakyat itu juga tidak berniat apa-apa malah dianggap sebagai tanggungjawab yang perlu dipenuhi sebagai Tunku Mahkota Johor dan kerabat diraja.

“Sumbangan keluarga diraja Johor kepada rakyat bukan baru minggu lepas tetapi sejak zaman nenek moyang saya lagi iaitu pada tahun 1885. Saya cuma meneruskan legasi almarhum-alamarhum Sultan Johor dan juga ayahanda saya.

“Suka saya nyatakan kepada mereka ini bahawa ini bukan tindakan yang aneh tetapi ia adalah tugas, amanah dan tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota Johor. Saya melakukan kerja ini ikhlas demi kesejahteraan rakyat saya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *